Oriental Interest batal cadangan ambil alih dua perniagaan motosikal RM280 juta

LocalBusiness & Finance
29 Oct 2026 • 9:00 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Oriental Interest batal cadangan ambil alih dua perniagaan motosikal RM280 juta Image from: Oriental Interest batal cadangan ambil alih dua perniagaan motosikal RM280 juta amree29/10/2026 - 09:00 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 29 Okt — Oriental Interest Berhad (OIB) membatalkan cadangan pengambilalihan dua perniagaan pembiayaan dan peruncitan motosikal bernilai RM280 juta demi memberi tumpuan kepada perniagaan teras pembangunan hartanah dan pembinaan.

 

Langkah strategik itu menyaksikan OIB dan vendor, LLSB 1980 Holdings Sdn Bhd bersetuju secara bersama untuk menamatkan perjanjian jual beli saham Chin Hin (Jitra) Sdn Bhd serta CHJ Motor Holdings Sdn Bhd.

 

Keputusan pembatalan urus niaga berkenaan dicapai susulan penilaian semula strategi perniagaan kumpulan, selain tempoh kelulusan pihak berkuasa kawal selia yang mengambil masa lebih lama daripada dijangkakan.

 

Menurut kenyataan, berdasarkan perjanjian penamatan yang dimeterai, kedua-dua pihak tidak mempunyai sebarang tuntutan antara satu sama lain berhubung pembatalan pengambilalihan syarikat motosikal berkenaan.

 

"Sebelum ini, urus niaga yang diumumkan pada 27 Julai 2026 itu dirancang bagi menandakan kemasukan kali pertama kumpulan hartanah berkenaan ke dalam segmen peruncitan dan pembiayaan kenderaan dua roda," jelas OIB.

 

Pengambilalihan bernilai RM280 juta itu sepatutnya dibiayai menerusi terbitan saham baharu bernilai RM100 juta dan saham keutamaan boleh tebus tidak boleh tukar bernilai RM180 juta.

 

Oriental Interest_DagangNews2026

 

Pembatalan ini menyusul selepas OIB menarik balik permohonan penyenaraian dan draf pekeliling daripada Bursa Malaysia pada September 2026 bagi membuat kemas kini penting pada dokumen berkaitan.

 

Penamatan urus niaga itu diumumkan serentak dengan prestasi kewangannya yang mencatatkan penurunan untung bersih suku keempat berakhir 31 Ogos 2026 sebanyak 35.9% kepada RM25.16 juta berbanding RM39.26 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Kemerosotan keuntungan kumpulan adalah disebabkan terutamanya oleh penurunan bil kemajuan daripada segmen pembangunan hartanah, manakala hasil suku tahunan turut susut 20% kepada RM179.4 juta.

 

Bagi keseluruhan tahun kewangan, untung bersih kumpulan merosot 21.1% kepada RM96.8 juta berbanding RM122.75 juta pada FY2025, manakala cadangan dividen ditetapkan pada enam sen sesaham berbanding 20 sen sebelum ini.

 

Meskipun berdepan cabaran segmen hartanah, OIB tetap berpandangan optimis terhadap FY27 dipacu oleh jualan belum dibilkan yang meningkat 22% kepada RM635.2 juta serta simpanan tanah seluas 815 hektar.  DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved