Pan Borneo Sabah siap sepenuhnya 2030

19 Oct 2026 • 4:23 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Pan Borneo Sabah siap sepenuhnya 2030

KUALA LUMPUR – Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah sepanjang 706 kilometer dijangka siap sepenuhnya pada 2030, dengan kemajuan fizikal Fasa 1B ketika ini baru mencapai 23.96 peratus.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, daripada keseluruhan 35 pakej kerja yang dilaksanakan, empat pakej sudah siap sepenuhnya, manakala baki 31 pakej lagi dijangka disiapkan secara berperingkat.

Beliau berkata, projek berkenaan dibahagikan kepada dua komponen utama iaitu Fasa 1A yang merangkumi 16 pakej kerja dan Fasa 1B sebanyak 19 pakej kerja.

“Setakat ini, kemajuan fizikal Fasa 1A mencapai 89.01 peratus, manakala sembilan lagi pakej kerja di bawah fasa tersebut dijangka siap pada hujung 2026 dan awal 2027.

“Sasaran penyiapan keseluruhan projek pada 2030 adalah berdasarkan pakej terakhir yang ditandatangani tahun ini, iaitu pakej WP35,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Wetrom Bahanda (KDM-Kota Marudu) mengenai status terkini pelaksanaan Lebuhraya Pan Borneo serta langkah mempercepat penyelesaian baki jajaran yang mengalami kelewatan.

Dalam pada itu Ahmad berkata, bagi memastikan projek mega itu dapat disiapkan mengikut jadual, beberapa langkah mitigasi dilaksanakan termasuk penubuhan Jawatankuasa Pemandu atau Pasukan Petugas (Task Force) bagi memantau kemajuan projek serta prestasi kontraktor secara intensif.

“Langkah itu turut membolehkan isu kelewatan dikenal pasti dan tindakan penyelesaian segera diambil terhadap masalah yang berbangkit.

“Selain itu, Kementerian Kerja Raya mengadakan mesyuarat dan sesi libat urus secara berkala dengan agensi kerajaan serta pihak swasta yang terlibat, termasuk syarikat penyedia utiliti dan komunikasi,” katanya.

Jelasnya, pengurusan tertinggi kementerian juga kerap mengadakan Program Turun Padang (TURPA) ke Sabah dan Sarawak bagi memantau pelaksanaan projek serta memastikan isu di tapak dapat diteliti dan ditangani segera.

Dalam pada itu, amaran keras turut dikeluarkan kepada kontraktor yang bermasalah dan tidak menunjukkan komitmen sewajarnya, dengan tindakan tegas berdasarkan klausa kontrak akan diambil sekiranya tiada perubahan.- KOSMO! ONLINE

The post Pan Borneo Sabah siap sepenuhnya 2030 appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved