Pahang perkasa komuniti Orang Asli melalui program transformasi digital

LocalTechnology
8 Oct 2025 • 12:50 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pahang perkasa komuniti Orang Asli melalui program transformasi digital

image is not available

08/10/2025 - 12:50

KUALA LUMPUR 8 Okt – Pahang Orang Asli Corporation (ORACO) terus memperkasa komuniti Orang Asli di negeri itu melalui Program Transformasi Digital dan Kepimpinan Pelajar untuk memastikan generasi muda masyarakat itu tidak tercicir dalam arus kemajuan teknologi negara.

Ketua Pegawai Eksekutif ORACO, Datuk Muhammad Olian Abdullah berkata, transformasi digital merupakan keutamaan bagi melahirkan generasi Orang Asli yang celik teknologi dan bersedia menyertai pembangunan ekonomi masa depan negara.

Beliau berkata, pendekatan baharu itu memberi tumpuan kepada pelajar Orang Asli di peringkat sekolah menengah, tingkatan enam dan institusi pengajian tinggi dengan sokongan padu daripada Kerajaan Negeri Pahang.

“Dunia kini bercakap tentang Internet of Things (IoT) dan kecerdasan buatan (AI). Orang Asli tidak boleh ketinggalan daripada arus ini.

“Sebab itu, di bawah kepimpinan negeri, Pahang banyak membantu anak-anak Orang Asli dengan peralatan seperti komputer riba bagi mendedahkan mereka kepada teknologi terkini,” katanya.

Tambahnya, program yang dilaksanakan itu bukan sahaja menumpukan aspek pembelajaran teknologi, tetapi juga membina kepimpinan pelajar supaya mampu menjadi agen perubahan dalam komuniti masing-masing.

Menurut beliau, pelaksanaan sekolah digital juga menjadi sebahagian penting agenda ORACO dengan projek perintis dimulakan di SK Lanai dengan sokongan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP), manakala fasa kedua bakal diperluas ke SK Bukit Rok.

“Di SK Lanai, kami telah membekalkan smart board dan sedang mewujudkan bilik darjah digital. Ini bagi membolehkan pelajar Orang Asli mendapat pendedahan teknologi sejak di peringkat sekolah rendah,” ujarnya.

Beliau turut berkongsi kejayaan membanggakan apabila pelajar Orang Asli dari SK Permatang Kledang muncul johan pertandingan robotik peringkat dunia di Busan, Korea Selatan.

“Tahun ini, pasukan tersebut akan mewakili Malaysia ke pertandingan serantau di Indonesia, dengan pembiayaan ditanggung kerajaan negeri.

“Kejayaan ini membuktikan bahawa dengan sokongan dan peluang yang betul, pelajar Orang Asli mampu bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya.

ORACO optimis pendekatan berasaskan digital ini akan membuka laluan lebih luas kepada anak muda Orang Asli untuk menguasai kemahiran abad ke-21, seterusnya meningkatkan kebolehpasaran mereka dan menjadikan komuniti Orang Asli sebahagian penting dalam pembangunan negeri.

Masyarakat Orang Asli di Pahang terdiri daripada lapan suku kaum iaitu Jakun, Semelai, Semaq Beri, Jahut, Temuan, Bateq, Semai dan Temiar. - DagangNews.com

standard