
BEBERAPA siri paip pecah menyebabkan pengguna di beberapa kampung di Sipitang, termasuk Kg Luagan, mengalami gangguan bekalan air sekejap-sekejap sejak beberapa hari lalu.
Seorang jurucakap Jabatan Air melahirkan rasa kesal atas kesulitan yang timbul akibat gangguan tidak dijangka itu, sambil menjelaskan kerosakan paip terbaru berpunca daripada tindakan kontraktor pihak ketiga.
“Pekerja kontraktor itu secara tidak sengaja telah menggali paip utama MSCL [Mid-Steel-Cement Lined] berukuran 12 inci berhampiran Kg Sungai Batat semalam,” katanya.
Dia berkata individu terbabit mula menjalankan kerja pembaikan di bahagian paip agihan yang terjejas pada jam 10 pagi, sejurus kebocoran itu dikesan.
“Kami mengeluarkan notis setengah jam lebih awal untuk memaklumkan pengguna tentang kemungkinan kehilangan bekalan.”
Kawasan yang terlibat termasuk komuniti setempat di Kg Luagan, Kg Pantai-Luagan, Kg Batu 7, Kg Longkinangan, Kg Pantai Masjid Lama, Kg Masjid Baru, Kg Pandan, Kg Bukit Bepanggal, Kg Layun, Kg Padang Berampah, Kg P & P, Kg Merintaman, Kg Batu 4, Kg Setia dan Kg Batu 1.
Penduduk di Taman Wawasan serta mereka yang tinggal di sepanjang jalan menuju ke perumahan Jabatan Kerja Raya dan Kompleks Sukan Sipitang turut dinasihatkan supaya menggunakan simpanan air mereka secara berhemah.
Jurucakap itu berkata kakitangan Jabatan Air menasihati kontraktor berkenaan mengenai cara-cara untuk mengelakkan kejadian seumpama itu daripada berulang.
“Kontraktor yang menjalankan projek infrastruktur dan pembangunan berskala besar – terutamanya yang terlibat dalam pembinaan Lebuhraya Pan Borneo – harus memaklumkan aktiviti mereka lebih awal kepada Jabatan.
“Langkah ini mampu mengurangkan gangguan yang mungkin berlaku akibat kerja-kerja mereka.”
Jurucakap itu berkata satu lagi paip AC (simen asbestos) berukuran enam inci berhampiran Kg Luagan turut didapati bocor sebelum ini.
“Kerosakan ini berkemungkinan berpunca daripada paip itu sudah haus dan lusuh kerana ia sudah dipasang sejak sekian lama. Kami dimaklumkan mengenai perkara itu pada petang Ahad selepas seorang orang awam ternampak takungan air di bahu jalan.”
Katanya, bekalan air ke Kg Luagan Luar dan Kg Luagan Dalam telah ditutup sementara mulai jam 6 petang hari berkenaan bagi membolehkan kerja kecemasan dilakukan ke atas kebocoran itu.
“Pasukan kami terpaksa menggali hingga ke lokasi paip yang bocor. Sebuah jentera penggali pada mulanya digunakan untuk membantu kerja tersebut tetapi kami terpaksa menghentikan penggunaannya selepas menyedari terdapat paip gas bawah tanah di kawasan itu.”
Katanya, kerja-kerja di lokasi itu ditangguhkan sementara sehingga Jabatan menerima pengesahan daripada pihak pemilik struktur terbabit bahawa ia selamat untuk meneruskan pembaikan.
“Langkah berjaga-jaga ini diambil kerana kami tidak mahu kerja-kerja kami secara tidak sengaja mencetuskan letupan gas seperti yang berlaku di Putra Heights di Semenanjung baru-baru ini.
“Air terawatt dihantar setiap hari melalui lori tangki ke kedua-dua kampung sementara kami menunggu maklum balas daripada syarikat minyak dan gas berkenaan.” Dia berkata kerja-kerja pembaikan sudah pun siap pada Rabu.
“Pengguna terjejas menerima semula bekalan mereka secara berperingkat, sebaik sahaja tekanan mencukupi telah terbina dalam paip agihan utama Jabatan.”


