Pakcik jatuh dalam longkang, hampir sejam menunggu bantuan

16 Nov 2026 • 11:20 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Pakcik jatuh dalam longkang, hampir sejam menunggu bantuan

PETALING JAYA – Seorang lelaki warga emas berdepan detik cemas apabila terjatuh ke dalam sebuah longkang yang dipercayai tidak mempunyai penutup di Jalan Amaniah, Gombak pagi tadi.

Kejadian itu diketahui selepas seorang individu yang melalui kawasan berkenaan terdengar suara lelaki terbabit meminta pertolongan sebelum menemukannya berada di dalam longkang yang dikelilingi semak samun.

Perkara tersebut dikongsikan seorang pengguna Threads @ninirafar yang memaklumkan rakannya menyedari kejadian itu selepas terdengar jeritan meminta bantuan.

“Salah seorang rakan kelas dengar orang minta tolong. Rupanya ada pakcik jatuh dalam longkang ini, tidak tahu berapa lama,” katanya menerusi hantaran di Threads hari ini.

Menurutnya, berdasarkan maklumat rakannya, lelaki berkenaan dipercayai sudah berada di dalam longkang itu hampir sejam sebelum disedari orang awam.

Katanya, lokasi kejadian bukan kawasan laluan pejalan kaki, sekali gus menyebabkan kehadiran mangsa sukar disedari.

“Memang tidak ada orang perasan sebab situ bukan kawasan pejalan kaki. Kalau tidak jadi pagi tadi, tidak tahu ada penutup longkang yang tiada.

“Tempat itu sedikit semak dan memang terbatas penglihatan mata jika tidak diperhatikan betul-betul. Tambahan pula, pada awal pagi tidak ada orang di situ,” jelasnya.

Bagaimanapun, wanita itu memaklumkan lelaki berkenaan berjaya dibantu dan dibawa pulang ke rumah oleh seorang lagi rakannya.

Menurutnya, mangsa hanya mengalami luka ringan pada bahagian kaki akibat kejadian tersebut.

“Pakcik itu sudah dibawa pulang ke rumah oleh rakan kelas lain. Ada luka sedikit-sedikit dekat kaki. Dah balik rumah,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna media sosial meluahkan rasa simpati terhadap nasib lelaki terbabit selain bimbang keadaan longkang yang tidak bertutup itu boleh mengundang kejadian lebih buruk.

“Tolong panggil orang potong rumput, bahayanya. Nasib ada orang perasan, sudah kelaparan dan kesejukan pakcik itu,” komen @halimah_ahbar.

“Semoga dipermudahkan segala urusan. Ada yang tahu pakcik itu okey atau tidak? Bahayanya kalau tidak diselenggara betul-betul,” kata @movonhub.com.my.

“Kasihannya, pihak berkuasa tempatan patut buat kerja,” ujar @haiyeee234.

“Allah, kasihan pakcik itu. Harap tiada mangsa yang lain,” komen @awintahir_. – KOSMO! ONLINE

The post Pakcik jatuh dalam longkang, hampir sejam menunggu bantuan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved