Seorang bekas anggota tentera terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Persekutuan, menerusi keputusan majoriti 2-1, menggantikan hukuman itu dengan penjara 40 tahun dan 12 sebatan kerana membunuh anak perempuan kandungnya, lapan tahun lalu.
Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Nordin Hassan, Datuk Seri Vazeer Alam Mydin Meera dan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali mengekalkan sabitan terhadap Mohammad Abdullah Mohamed, 44, di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Advertisement
FAIL/AWANI Hakim Nordin berkata mahkamah mendapati tiada ketidakadilan dalam keputusan mahkamah terdahulu yang mensabitkan perayu.
“Mahkamah mendapati tiada miscarriage of justice dalam keputusan mahkamah terdahulu yang mensabitkan perayu bersalah. Oleh itu, sabitan dikekalkan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.”
Mahkamah Persekutuan Ganti Hukuman Mati Dengan Penjara 40 Tahun
Berhubung hukuman, Hakim Nordin berkata berlaku perbezaan pendapat dalam kalangan panel apabila dua hakim berpendapat hukuman mati wajar digantikan.
“Saya bagaimanapun tidak bersetuju dengan kedua-dua panel hakim ini kerana bagi saya, ini merupakan satu kes yang hukuman mati sepatutnya dikekalkan. Namun, kamu bernasib baik kerana majoriti panel dalam kes ini bersetuju hukuman mati digantikan dengan hukuman penjara.
“Mereka berpendapat hukuman yang sesuai bagi kes ini ialah penjara 40 tahun dari tarikh tangkap (31 Jan 2018) serta 12 sebatan.”
Pada 22 Ogos 2023, Mahkamah Tinggi Seremban menjatuhkan hukuman mati terhadap Mohammad Abdullah selepas didapati bersalah membunuh anaknya, Nur Aina Nabihah, 9, di Taman Vista Jaya, Lukut, Port Dickson pada 31 Januari 2018.
Sabitan dan hukuman mati itu kemudiannya dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 26 Jun 2025.
Pendakwaan Dedah Keterangan Abang Mangsa
Dalam prosiding rayuan, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata abang mangsa yang menjadi saksi pendakwaan memberitahu mahkamah bahawa dia dan adiknya dihukum oleh bapa mereka kerana tidak menunaikan solat.

“SP18 dalam keterangan memberitahu beliau dan si mati dihukum oleh bapa mereka kerana tidak solat dan tertuduh menyuruh mereka membuat pumping dan sit up sebanyak 500 kali.
“Apabila si mati tidak larat berbuat demikian, si mati diterajang dan dipijak perut oleh tertuduh hingga menyebabkan pankreasnya terbelah. Tulang rusuk si mati juga patah dan ada kesan cekikan pada leher dan hentakan di kepala.
“Penderaan telah berlaku dalam kes ini dan terdapat 23 kecederaan luka luaran pada jasad si mati… perayu tidak layak diberikan peluang kedua dan orang ramai mahukan hukuman mati diberikan dalam keadaan kes ini.”
Peguam Mohon Peluang Kedua
Peguam Afifuddin Ahmad Hafifi yang mewakili Mohammad Abdullah sebelum itu berhujah bahawa sabitan di bawah Seksyen 302 tidak selamat kerana isu berkaitan penerimaan keterangan saksi pendakwaan.
Beliau turut memohon agar anak guamnya diberikan peluang kedua.
Pendakwaan bagaimanapun menegaskan tahap kecederaan mangsa serta keadaan kes menunjukkan perayu tidak wajar diberikan peluang tersebut kerana tidak pernah menunjukkan rasa kesal.
Selepas prosiding, Wan Shaharuddin berkata pihak pendakwaan menerima keputusan Mahkamah Persekutuan.
“Saya bersyukur mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 40 tahun. Dalam tempoh menjalani hukuman itu, dia (tertuduh) perlu memikirkan apa telah dia lakukan terhadap anaknya. Itu lebih teruk daripada hukuman mati,” katanya. – AWANI
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
BACA:
The post Paksa Anak Pumping 500 Kali, Tendang Dan Cekik, Bekas Tentera Terlepas Hukuman Mati – “Dia Tak Pernah Tunjuk Kesal” first appeared on Beautifulnara -Terkini dan Sensasi.






