Palam kuasa PCIe 12VHPWR diperkenalkan pada tahun lepas melalui siri kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4090 dan walaupun ia dilihat membolehkan kad-kad grafik berkuasa seperti NVIDIA GeForce RTX 4090 untuk menggunakan kuasa elektrik setinggi 600W, terdapat banyak laporan yang memperlihatkan sejumlah kad-kad grafik berkuasa ini mengalami isu dimana palam tersebut cair kerana pengeluaran haba yang keterlaluan.

Igor’s Lab baru-baru ini telah melaporkan bahawa mereka telah menerima dokumen mengenai spesifikasi palam kuasa komputer baru yang dinamakan 12V-2×6. Menurut dokumen tersebut, palam ini dibangunkan mengikut spesifikasi ATX 3.1 dan juga PCIe 6.0 yang tidak dilihat mempunyai perbezaan fizikal yang ketara, tetapi dari segi mekanikal, pin-pin yang terkandung didalam palam ini dimuatkan lebih kedalam untuk memastikan sambungan yang tidak akan menyebabkan sebarang ketirisan elektrik.

Palam baru ini juga akan hadir dengan mod pengesanan 150W dan 300W, disamping 300W dan 600W yang digunakan pada palam 12VHPWR sebelum ini. PCI-SIG juga dilihat akan memperkenalkan piawaian baru untuk kualiti kabel dan kepala palam untuk memastikan bahawa isu yang membelenggu pengguna kabel 12VHPWR tidak lagi tiba selepas ini.

Buat masa ini, ia dijangka bahawa kabel dan palam 12V-2×6 ini akan menyokong palam 12VHPWR sebelum ini tanpa masalah, dan dijangka akan diperkenalkan secara rasmi apabila sebuah kad grafik yang menggunakan piawaian PCIe 6.0 diperkenalkan kelak.
- Sumber
- Igor’s Lab
