Pam air tambahan: Tindakan Jabatan Air Sabah dikritik

LocalPolitics
7 Mar 2025 • 11:10 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Winnie Kasmir

SANDAKAN: Adun Karamunting Datuk George Hiew Vun Zin mengkritik keras tindakan Jabatan Air Sabah (JANS) yang mengumumkan pemeriksaan pemasangan pam air di seluruh negeri.

Menurutnya, penguatkuasaan itu tidak masuk akal kerana pengguna yang tidak mematuhi peraturan boleh dikenakan denda tinggi atau hukuman penjara.

Beliau menyifatkan langkah ini sebagai membebankan rakyat, terutama penduduk Sandakan.

Dalam satu kenyataan, George berkata tindakan itu tidak munasabah, lebih-lebih lagi ketika Sandakan masih berdepan masalah bekalan air.

“Kawasan seperti Bandar Ramai-Ramai, Pasir Putih, Bandar Nam Tung, dan Bandar Leila di Karamunting baru sahaja mendapat bekalan air semula selepas mengalami gangguan yang berpanjangan.

“Namun, tekanan air masih lemah, menyebabkan penduduk terpaksa menggunakan pam air.

“Jika Jabatan Air Sabah tetap bertegas dengan denda dan rampasan pam air, langkah itu hanya akan menimbulkan kebimbangan di kalangan penduduk,” katanya.

George menjelaskan ramai penduduk Karamunting sudah lama berdepan bekalan air tidak stabil. Mereka terpaksa memasang pam air untuk memenuhi keperluan harian, bukan kerana mahu melanggar undang-undang.

Beliau telah menghubungi Pengarah Jabatan Air Sabah untuk meminta penguatkuasaan itu ditangguhkan, terutama di kawasan yang masih mengalami masalah bekalan air.

“Kerajaan perlu memastikan bekalan air mencukupi dahulu sebelum mengambil tindakan penguatkuasaan. Jika tidak, ini hanya akan memburukkan lagi keadaan rakyat.

“Penduduk bukan sengaja mencetuskan masalah, tetapi mereka tiada pilihan lain. Jika bekalan air stabil, siapa yang mahu berbelanja untuk memasang pam air?” tegas beliau.

Beliau turut mempersoalkan mengapa masalah air di Karamunting masih tiada penyelesaian jangka panjang.

Sebaliknya, pihak berkuasa mengambil jalan mudah dengan menghalang penduduk daripada mencari penyelesaian sendiri.

Sementara itu, George berkata beliau telah menghubungi Timbalan Ketua Menteri Sabah III merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Shahelmey Yahya, yang bersetuju untuk menangguhkan penguatkuasaan tersebut.

George menggesa semua pihak untuk memberi keutamaan kepada penambahbaikan sistem bekalan air sebelum mengambil tindakan terhadap penduduk.

“Undang-undang hanya boleh dikuatkuasakan jika rakyat sudah mendapat keperluan asas mereka. Jika Jabatan Air Sabah sendiri tidak dapat menjamin bekalan air stabil, mereka tidak boleh terburu-buru melarang penggunaan pam air,” katanya.

Sebelum ini, pengumuman Jabatan Air Sabah itu telah mencetuskan kebimbangan di kalangan penduduk Karamunting.

Ramai merasakan dasar tersebut tidak mengambil kira realiti sebenar kehidupan penduduk dan boleh menyebabkan lebih ramai keluarga berdepan masalah kekurangan air yang lebih serius.

George memberi jaminan bahawa beliau akan terus menyuarakan kebimbangan rakyat kepada Jabatan Air Sabah dan Menteri Kerja Raya bagi memastikan dasar ini dikaji semula.