
KEM Harimau Malaya tersentak apabila pemain sensasi, Faisal Halim berdepan risiko disisihkan dalam aksi ‘hidup mati’ menentang Singapura dalam kempen Piala ASEAN FIFA 2026 selepas belum pulih daripada kecederaan.
Pemain sayap berusia 28 tahun itu terpaksa ‘direhatkan’ daripada sesi latihan hari ini susulan kecederaan yang dialami ketika aksi Kumpulan A menentang, Indonesia, kelmarin.
Pengendali interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berdebar menanti lampu hijau daripada pasukan perubatan sebelum membuat keputusan sama ada mahu mempertaruhkan pemain yang mesra dengan panggilan Miki itu atau sebaliknya.
”Kita akan lihat bagaimana kedudukan pemain dari segi keletihan dan kecederaan. Faisal tidak turun latihan hari ini kerana mengalami kecederaan semasa menentang Indonesia.
“Kita belum pasti kedudukan 100 peratus sama ada dia boleh diturunkan atau terlepas baki kejohanan, tetapi dalam tempoh satu atau dua hari lagi kita akan tahu setakat mana tahap kecederaannya.
”Kita tunggu laporan daripada pegawai perubatan untuk sahkan sama ada Faisal boleh diturunkan atau disebaliknya (ketika bertemu Singapura). Pemain lain tiada masalah,” katanya pada sesi latihan, malam ini.
Skuad negara berdepan misi wajib menang sekiranya mahu mencerahkan peluang layak ke final kejohanan berprestij itu selepas berkongsi empat mata ketika ini bersama tuan rumah, Indonesia. – KOSMO! ONLINE
The post Piala ASEAN FIFA: Peluang Faisal turun menentang Singapura 50-50 appeared first on Kosmo Online.






