Bagi sesiapa yang mengenali siri Mate daripada Huawei, pasti sudah maklum bahawa peranti ini sentiasa menonjol dalam segmen mercu dengan sistem kamera yang dipertingkatkan. Kini, Huawei bukan sahaja menambah baik keupayaan kamera, malah turut meningkatkan aspek ketahanan. Selepas beberapa tahun tidak hadir di pasaran global termasuk Malaysia, kemunculan kali ini terasa lebih bermakna.

Apa Dalam Kotak?

Huawei Mate 80 Pro hadir dalam kotak yang tersusun rapi, lengkap dengan aksesori penting seperti pin SIM, manual, kerangka plastic, kabel USB-C ke USB-C serta kepala pengecas 100W. Menariknya, pengecas ini masih menggunakan port hibrid dua-dalam-satu (USB-C + USB-A) sama seperti yang pernah saya temui pada model Pura mereka sebelum ini. Susunan keseluruhan kotak adalah kemas dan pengalaman membuka kotak ini memberikan gambaran awal tentang sebuah peranti premium yang penuh perhatian terhadap butiran.

Reka Bentuk Dan Paparan Skrin
Model terakhir yang sempat saya gunakan ialah Mate50 Pro yang ketika itu menerima pelbagai reaksi kerana modul kamera bulatnya, sehingga ada yang menggelarkannya seperti mesin basuh. Kali ini, Huawei masih mengekalkan bentuk bulat, namun nampak lebih kemas dengan gabungan elemen daripada Mate 60 dan Mate 40.

Huawei menamakan rekaan ini sebagai Brand-New Dual Space Ring Design iaitu evolusi daripada rekaan ikonik siri Mate. Dual Ring ini bukan sekadar gaya tetapi membawa simbolik kepada falsafah ‘Innovative Exploration’ yang menjadi teras siri Mate. Inilah mesej yang cuba disampaikan oleh Huawei sewaktu sesi taklimat bersama media semalam.

Tubuh Mate 80 Pro ini hadir dengan rekaan berkotak di bahagian hadapan dan belakang manakala sisi melengkung pula memberikan genggaman yang lebih selesa. Paparan tepi rata dengan bezel nipis turut menambah sentuhan moden pada keseluruhan rekaan ini.

Modul kamera Mate 80 Pro memang sedikit menonjol dan terasa kurang seimbang kerana bahagian atas lebih berat berbanding bawah. Dari pengalaman saya, ia mengingatkan kepada rekaan iPhone 12 Pro yang pernah saya gunakan sebelum ini, malah jika dibandingkan Oppo Find X9 Pro yang saya uji tidak lama dahulu sebenarnya terasa lebih ringan dan seimbang dari segi ergonomik.

Perkara ini menunjukkan bagaimana setiap jenama mengambil pendekatan berbeza dalam usaha untuk seimbangkan modul kamera dengan keseluruhan rekaan peranti. Meskipun, Mate 80 Pro memberi penekanan pada sistem kamera yang lebih berkuasa, kompromi pada berat bahagian atas sedikit mempengaruhi keseimbangan ketika digenggam.
Selain itu, Mate 80 Pro turut hadir dengan pensijilan IP68/69 untuk menjadikannya kalis air pada suhu dan tekanan tinggi. Ciri ini menambah nilai yang menarik untuk sebuah peranti dalam segmen premium kerana ia bukan sahaja menekankan aspek rekaan, tetapi juga ketahanan dalam penggunaan harian.

Namun, terdapat perubahan pada sistem keselamatan seperti pengimbas cap jari kini dipindahkan ke butang kuasa. Saya menyebut perubahan ini dengan merujuk kepada pengalaman menggunakan Mate50 sebelum ini memandangkan saya tidak berpeluang membuat ulasan untuk Mate60 dan Mate70. Pun begitu, saya difahamkan bahawa perubahan ini sebenarnya telah diperkenalkan sejak Mate70 lagi.

Siri Mate70 hadir dengan pengimbas cap jari di sisi, berbeza daripada model sebelumnya yang menggunakan pengimbas cap jari dalam skrin. Pilihan baharu ini dirasakan lebih praktikal kerana bukan sahaja meningkatkan kemudahan penggunaan, malah turut menambah baik aspek keselamatan. Kaedah ini juga lebih konsisten berbanding pengimbas dalam paparan tradisional.

Meskipun, ia mungkin kelihatan seperti sedikit turun taraf, Huawei masih mengekalkan ciri 3D TOF Face Unlock yang jarang ditawarkan pada peranti Android lain. Kehadiran ciri ini memastikan pengguna mempunyai pilihan keselamatan yang lebih menyeluruh, sekali gus mengekalkan pengalaman premium yang menjadi identiti siri Mate.

Susunan butang pada Mate 80 Pro adalah standard, dengan butang kuasa di bahagian kanan diikuti oleh butang laras audio. Bahagian kiri pula kosong, manakala di bahagian atas hanya terdapat lubang mikrofon. Di bahagian bawah, terdapat slot SIM, port pengecasan USB-C serta pembesar suara.

Paparan skrin turut menjadi perhatian utama bagi sesiapa yang melihatnya. Terdapat tiga lubang kecil di bahagian tengah atas skrin, di mana satu digunakan untuk sistem 3D TOF Face Unlock, manakala satu lagi menempatkan kamera swafoto. Lubang ketiga pula masih belum dapat dipastikan fungsinya.

Skrin berukuran 6.75 inci ini menggunakan panel LTPO OLED dengan sokongan 1.07 bilion warna. Ia juga hadir dengan kadar segar semula 1-120 Hz, sistem PWM dimming frekuensi tinggi 1440 Hz, serta kadar pensampelan sentuhan sehingga 300 Hz. Resolusi skrin mencapai 2832 × 1280 piksel dengan ketumpatan 460 ppi untuk memastikan paparan lebih tajam dan jelas.
Perkakasan Dan Perisian Dalaman
Mate 80 Pro dikuasakan oleh cip Kirin 9030 Pro dengan memori 16GB RAM serta storan dalaman 512GB. Untuk pasaran Malaysia, hanya satu varian ini sahaja akan ditawarkan. Tiada RAM maya seperti yang sering ditawarkan pada beberapa peranti dari China dan slot kad SD juga tidak disediakan di sini.

Dari segi prestasi, peningkatannya mungkin tidak terlalu besar berbanding cip yang pernah saya uji pada Pura80 sebelum ini. Namun, berdasarkan pengalaman awal ini, ia masih terasa lancar untuk tugasan harian seperti membuka aplikasi, menatal media sosial atau melakukan kerja. Peranti turut menggunakan sistem operasi EMUI 15 bagi pasaran luar China. EMUI 15 hadir dengan pelbagai ciri berasaskan AI yang direka untuk membantu pengalaman penggunaan seharian agar lebih mudah dan praktikal.

Antara ciri yang menarik ialah AI Composition, yang membantu mendapatkan sudut gambar terbaik tanpa perlu banyak percubaan. Terdapat juga AI Gesture Control, membolehkan telefon dikawal hanya dengan gerakan tangan tanpa menyentuh skrin. Dari segi privasi, AI Smart Notification memastikan notifikasi tidak boleh dibaca oleh orang lain, manakala AI Noise Cancellation pula meningkatkan kualiti bunyi semasa panggilan.


Selain itu, AI Smart Control memberi kebebasan kepada pengguna untuk menyesuaikan fungsi butang kuasa. Sebagai contoh, saya menetapkannya pada aplikasi Gemini di mana dengan dua klik sahaja saya boleh membuka aplikasi tersebut dengan pantas. Fungsi ini juga boleh diubahsuai untuk fungsi-fungsi lain mengikut kesesuaian.

AI Remove membolehkan objek yang tidak diingini dibuang daripada gambar, manakala AI Best Expression memilih ekspresi wajah paling sesuai, khususnya apabila gambar tidak menjadi seperti mata tertutup. Akhir sekali, terdapat Intelligent Identification yang membantu pengecaman pintar dalam pelbagai situasi.

Bateri Mate 80 Pro hadir dengan kapasiti 5750 mAh, dan disokong oleh pengecasan pantas berwayar 100W serta pengecasan nirwayar 80W. Melihat angka ini, ia mungkin kelihatan sedikit kecil berbanding beberapa peranti mercu lain yang kini sudah mencapai kapasiti 6000mAh. Namun begitu, kapasiti di atas kertas tidak semestinya menggambarkan prestasi sebenar.
Apa yang lebih penting untuk dinilai pada Mate 80 Pro bukan sekadar angka bateri tetapi bagaimana Huawei mengoptimumkan perisian dan perkakasan untuk memastikan ketahanan yang baik dalam penggunaan harian. Walaupun kapasiti 5750mAh ini kelihatan sederhana berbanding beberapa peranti mercu lain yang sudah mencapai 6000mAh, pengalaman sebenar hanya dapat ditentukan selepas ujian penggunaan lebih mendalam dijalankan dalam ulasan akan datang.
Tetapan Kamera Dan Hasil Gambar
Huawei Mate 80 Pro hadir dengan tetapan kamera yang cukup mengagumkan. Ia dilengkapi dengan kamera utama 50MP Ultra Lighting (apertur F1.4–F4.0, OIS, RYYB), sudut lebar 40MP Ultra-Wide Angle (apertur F2.2, RYYB), serta telefoto makro 48MP Ultra Lighting Macro Telephoto (apertur F2.1, OIS). Selain itu, terdapat juga kamera True-to-Colour yang melengkapkan sistem fotografi peranti ini. Kebolehan zum mencapai sehingga 4 × optical zoom, manakala rakaman video menyokong resolusi sehingga 3840 × 2160 piksel.

Ciri fotografi yang ditawarkan juga sangat pelbagai termasuk AI Composition, AI Moving Picture, Ultra Speed Snapshot, Night Mode, Super Macro, High-res, Time-Lapse, Ultra Wide Angle Lens, Adjustable Physical Aperture, Portrait, Pro Mode, Slow-Mo, Panorama, Light Painting, Filter, Stickers, Master AI, Capture Smiles, Audio Control, Timer dan Burst Shooting. Untuk kamera hadapan, ia menggunakan sensor 13MP yang cukup memadai bagi kegunaan swafoto dan panggilan video.






Dalam pengalaman awal saya, kamera Mate 80 Pro benar-benar menunjukkan prestasi yang meyakinkan. Hasil gambar daripada kamera utama kelihatan memuaskan dengan bantuan lensa telefoto yang mampu memberikan butiran lebih jelas serta warna lebih tepat. Ciri True-to-Colour yang diiklankan oleh Huawei juga dapat dilihat dalam hasil tangkapan sama ada pada waktu siang, senja mahupun malam dengan hampir semuanya nampak konsisten dan menyerlah.









Daripada beberapa gambar yang saya ambil, jelas bahawa sistem kamera Mate 80 Pro mampu menghasilkan kualiti yang baik dalam kelasnya. Walau bagaimanapun, ini hanyalah pandangan awal berdasarkan ujian ringkas. Ulasan penuh mengenai keupayaan kamera akan saya kongsikan dalam penilaian yang lebih mendalam pada masa akan datang, agar gambaran sebenar tentang potensinya dapat dinilai dengan lebih menyeluruh.
Pandangan Awal
Mate 80 Pro menandakan kembalinya siri Mate dalam segmen peranti premium selepas beberapa tahun seakan senyap tanpa kemunculan baharu. Ramai yang mula beranggapan bahawa siri Mate sudah tidak lagi diteruskan dan digantikan oleh siri Pura untuk pasaran global. Namun, kehadiran Mate 80 Pro jelas menolak tanggapan tersebut, malah menimbulkan persoalan sama ada siri Pura akan diteruskan lagi tahun ini kerana setakat ini masih belum ada maklumat rasmi mengenainya.

Berbalik kepada Mate 80 Pro, penawarannya dilihat cukup menarik dalam beberapa aspek. Walaupun skrin tidak menunjukkan peningkatan drastik, sistem kamera yang dibawakan terasa lebih meyakinkan, khususnya dengan teknologi pengimejan XMAGE yang menjadi fokus Huawei. Pengalaman awal saya menggunakan sistem kamera ini terasa hampir sama dengan siri Pura yang pernah saya uji sebelum ini termasuk juga Mate X7 yang menonjol sebagai peranti boleh lipat dengan kekuatan pada sistem kamera. Seperti biasa, prestasi penuh hanya akan dapat saya nilai dalam ulasan mendalam yang akan datang.

Huawei turut menjanjikan bahawa peranti ini akan dipasarkan dengan harga sekitar RM3,XXX meskipun julat rasmi belum diumumkan. Hal ini menjadikan segmen premium semakin menarik kerana jenama besar seperti Apple dan Samsung menawarkan peranti mercu mereka dengan harga yang lebih tinggi. Harga rasmi Mate 80 Pro hanya akan diketahui semasa pelancaran rasminya pada 12 Mac 2026.

