Siri nombor Honor kini kembali dengan model terbaharu, Honor 400. Mereka meneruskan penjenamaan yang sama seperti sebelum ini namun dengan peningkatan lebih baik bagi memenuhi keperluan semasa. Selain itu, terdapat perubahan reka bentuk yang ketara dilakukan oleh Honor kali ini bagi memberikan peranti rupa yang lebih segar dan moden. Berikut ialah artikel pandang pertama untuk Honor 400, namun perkongsian ini adalah terhad dan hanya memfokuskan kepada reka bentuk serta sistem kamera utama peranti.

Reka Bentuk Dan Kemasan
Honor 400 akan dilancarkan di Malaysia dalam dua varian, iaitu Standard dan Pro, dengan perubahan yang ketara berbanding model terdahulu. Salah satu perubahan paling jelas ialah pada bonggol kamera, yang sebelum ini berbentuk oval tetapi kini hadir dengan reka bentuk baharu sepenuhnya.

Reka bentuk siri Honor 400 menampilkan elemen yang menyerupai iPhone serta Huawei Pura70, dengan susunan tiga bonggol kamera yang menonjol di bahagian belakang. Perkara ini pernah dinyatakan dalam ulasan mengenai Honor 400 Lite sebelum ini. Bonggol kamera tersebut memenuhi hampir satu pertiga daripada bahagian belakang peranti. Sisi serong turut digunakan bagi mengurangkan ketebalan, namun peranti masih terasa berat dan tebal khususnya pada bahagian kamera.

Kedua-dua peranti menampilkan penjenamaan kamera 200MP yang jelas terpapar pada bonggol kamera. Versi Pro dilengkapi dengan tiga kamera utama serta lampu LED Flash yang ditempatkan di antara sensor utama. Sebaliknya, versi Standard hanya mempunyai dua kamera utama, dengan salah satu bonggol digunakan sebagai ruang bagi lampu LED Flash.

Versi Pro hadir dengan skrin dan bahagian belakang yang melengkung, namun bukan daripada jenis Paparan Air Terjun (Waterfall Display). Bingkai peranti dalam siri ini juga lebih tebal, memberikan pengalaman penggunaan yang menyerupai siri Honor Magic terkini. Sementara itu, versi Standard menampilkan reka bentuk tubuh dan skrin rata dengan sisi yang melengkung memberikan keselesaan penggunaan serta penampilan yang lebih minimalis.


Dari segi pengalaman penggunaan, kedua-dua peranti menawarkan cengkaman yang ergonomik serta selesa di tangan. Bagaimanapun, ia tidak lagi seringan dan senipis siri Honor 200 sebelum ini. Kemasan pusam berkilat yang digunakan pada kedua-dua versi juga mudah memerangkap kotoran, terutamanya bagi pengguna yang sering berpeluh. Oleh itu, penggunaan sarung pelindung mungkin dapat membantu dalam menjaga kebersihan permukaan peranti.


Dari segi susunan butang dan port, reka bentuknya tidak jauh berbeza daripada peranti Honor yang sedia ada. Butang kuasa dan laras audio ditempatkan di sisi kanan dengan kedudukan yang ergonomik, manakala sisi kiri kosong tanpa sebarang butang atau slot tambahan. Bahagian atas peranti menempatkan sensor inframerah dan lubang mikrofon, sementara bahagian bawah pula dilengkapi dengan pembesar suara stereo, port USB-C, serta slot kad SIM.


Siri Honor 400 turut dilengkapi sistem audio stereo. Dari segi keselamatan, peranti ini menyediakan dua pilihan tambahan, iaitu imbasan cap jari di sisi dan pengesahan wajah sebagai lapisan sekuriti tambahan.
Sistem Kamera Dan Ciri AI
Honor 400 Pro hadir dengan kamera utama 200MP, dilengkapi sokongan OIS dan EIS serta sensor bersaiz 1/1.4 inci. Dengan teknologi ini, kamera peranti sepatutnya mampu menghasilkan imej berkualiti tinggi termasuklah dalam keadaan pencahayaan rendah.
Selain itu, ia turut menampilkan kamera telefoto 50MP dengan sokongan zum 5X hingga 50X bagi membolehkan rakaman jarak jauh diambil dengan sebaiknya. Peranti ini juga dilengkapi dengan kamera makro dan sudut lebar 12MP sesuai untuk merakam pemandangan sudut lebar dengan terperinci.

Bagi kamera swafoto, sensor 50MP menggunakan algoritma potret yang dipertingkatkan bertujuan untuk menghasilkan imej lebih terperinci serta nampak semula jadi. Sementara itu, Honor 400 standard hadir dengan kamera utama 200MP serta kamera sudut lebar 12MP namun tidak menyokong kamera telefoto 50MP seperti yang tersedia dalam versi Pro.
Selain keupayaan kamera, Honor 400 turut menyokong beberapa alat suntingan berasaskan kecerdasan buatan (AI) termasuk ciri AI Image to Video yang dibangunkan dengan kerjasama Google Cloud. Ciri ini membolehkan anda menukar gambar statik kepada animasi video durasi 5 saat dalam format MP4. Ciri ini tersedia dalam aplikasi Gallery pada peranti Honor 400 dan Honor 400 Pro tanpa memerlukan muat turun aplikasi tambahan.

AI Image to Video membolehkan pengguna menukar gambar statik menjadi animasi bergerak dengan mudah. Anda boleh menjadikan latar belakang gambar bergerak, atau menambah latar belakang baharu untuk hasil yang lebih menarik. Bagi menambah latar belakang baharu, anda perlu menggunakan ciri AI Cutout terlebih dahulu bagi mengasingkan objek utama dalam gambar. Kemudian, gunakan AI to Image untuk menjana latar belakang yang bersesuaian.

Animasi bergerak tersebut boleh disunting untuk menjadikannya lebih menarik. Dengan menekan AI Edit, pengguna akan diberikan pelbagai pilihan suntingan termasuk Edit, Text Effect, Music, Filter dan lain-lain. Terdapat juga templat terbina yang memudahkan pengguna menghasilkan video yang lebih interaktif dengan cepat. Selain itu, pengguna boleh melakukan suntingan seperti menggunakan ciri yang terdapat dalam CapCut.

Selain itu, Honor 400 turut dilengkapi dengan pelbagai ciri suntingan AI lain seperti AI Eraser 2.0 yang membolehkan pengguna menghilangkan objek yang tidak diingini dalam gambar, sementara itu AI Cutout memudahkan pemisahan subjek daripada latar belakang untuk hasil yang lebih jelas. AI OutPainting pula berfungsi untuk meluaskan imej dengan mengisi ruang kosong secara pintar manakala AI Upscale boleh meningkatkan resolusi tanpa menjejaskan kualiti visual.
Terdapat juga ciri Moving Photo Collage bagi menjadikan gambar lebih menarik dengan kesan animasi. Harcourt Studio 2.0 pula membolehkan anda mencipta kesan pencahayaan studio secara digital untuk menghasilkan imej yang lebih profesional.
Kesimpulan
Siri Honor 400 kelihatan menarik dalam kelasnya dengan reka bentuk yang telah diubah suai bagi menjadikannya lebih nampak moden. Setakat ini, hanya maklumat ini sahaja yang boleh dikongsi mengenai peranti. Butiran penuh akan didedahkan dalam artikel ulasan yang akan datang. Nantikan perkongsian lebih mendalam mengenai prestasi serta keupayaan sebenar peranti dalam penggunaan harian melalui artikel berkenaan.

