Panel pengampunan bekas tentera dihidupkan semula

LocalPolitics
12 Aug 2026 • 12:50 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Panel pengampunan bekas tentera dihidupkan semula

Larut: Panel pengampunan bagi tujuan pengiktirafan semula bekas tentera sebagai veteran kini dihidupkan semula bagi meneliti permohonan bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang benar-benar layak berdasarkan peraturan sedia ada.

Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM, Mejar Jeneral Datuk Semaon Marjuki berkata, panel berkenaan bukan dibubarkan seperti yang didakwa sesetengah pihak, sebaliknya hanya ditangguhkan sekitar 2024 sebelum diputuskan untuk diaktifkan semula.

Menurutnya, panel tersebut berfungsi menilai permohonan bekas tentera yang memohon untuk diiktiraf semula sebagai veteran selepas diberhentikan atau ditamatkan perkhidmatan atas sebab-sebab tertentu.

“Pada asalnya sekitar  2024, kita menangguhkan panel itu, bukannya membatalkannya. Sekarang ini panel tersebut telah dihidupkan semula dan kita akan melihat berapa ramai yang benar-benar layak berdasarkan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pusat Dialisis Yayasan Veteran ATM Cawangan Batu Kurau di sini hari ini.

Beliau berkata, setiap permohonan akan dinilai secara terperinci dengan mengambil kira justifikasi serta faktor sebenar yang menyebabkan seseorang bekas anggota tidak diiktiraf sebagai veteran sebelum ini.

Katanya, panel tersebut lebih menjurus kepada pertimbangan kes-kes disiplin tertentu, khususnya yang melibatkan kesalahan ringan ketika seseorang anggota masih dalam perkhidmatan.

Bagaimanapun, beliau berkata, kebanyakan kes yang sukar dipertimbangkan semula melibatkan bekas anggota yang diberhentikan di bawah peruntukan tertentu termasuk kes yang diputuskan oleh Mahkamah Tentera.

“Kalau melibatkan kes Mahkamah Tentera dan kesalahan yang berat seperti penyalahgunaan dadah serta kesalahan disiplin serius lain, memang amat sukar untuk dipertimbangkan semula atau diberi pengiktirafan semula sebagai veteran,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Semaon berkata, JHEV ATM turut memberi tumpuan kepada usaha memperkasakan ekonomi veteran melalui penyediaan lebih banyak peluang pekerjaan selepas mereka menamatkan perkhidmatan.

Menurutnya, pelbagai kerjasama telah dijalin dengan syarikat swasta, agensi dan jabatan kerajaan termasuk penempatan veteran sebagai warden di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), anggota Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), ranger di kementerian serta pasukan keselamatan sempadan di Sabah dan Sarawak.

“Lebih 700 orang veteran kini berkhidmat di pelbagai jabatan di seluruh negara, manakala hampir 1,000 veteran di Sarawak diserap menerusi pasukan Immune Border Enforcement Team (IBET) di bawah kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga melaksanakan program Work-Based Learning (WBL), Protege Ready to Work, upskilling dan reskilling bagi meningkatkan kebolehpasaran veteran, terutama mereka yang bersara sekitar usia 39 hingga 40 tahun dan masih berada pada tahap produktiviti yang tinggi.

“Matlamat kita ialah memastikan veteran bukan sahaja diiktiraf atas jasa mereka kepada negara, tetapi turut diberi peluang membina kerjaya kedua dan menikmati kehidupan yang lebih baik selepas tamat perkhidmatan,” katanya. –UTUSAN

The post Panel pengampunan bekas tentera dihidupkan semula appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved