Panel pengampunan bekas tentera dihidupkan semula

LocalPolitics
12 Aug 2026 • 1:21 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Panel pengampunan bekas tentera dihidupkan semula

LARUT – Panel pengampunan bagi tujuan pengiktirafan semula bekas tentera sebagai veteran yang sebelum ini ditangguhkan, kini dihidupkan semula bagi meneliti permohonan bekas anggota Angkatan Tentera (ATM) yang benar-benar layak berdasarkan peraturan sedia ada.

Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM, Mejar Jeneral Datuk Semaon Marjuki berkata, panel berkenaan bukan dibubarkan seperti yang didakwa sesetengah pihak, sebaliknya hanya ditangguhkan sekitar 2024 sebelum diputuskan untuk diaktifkan semula.

Menurutnya, panel tersebut berfungsi menilai permohonan bekas tentera yang memohon untuk diiktiraf semula sebagai veteran selepas diberhentikan atau ditamatkan perkhidmatan atas sebab-sebab tertentu.

“Pada asalnya sekitar 2024, kita menangguhkan panel itu, bukannya membatalkannya.

“Sekarang ini panel tersebut telah dihidupkan semula dan kita akan melihat berapa ramai yang benar-benar layak berdasarkan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Perasmian Pusat Dialisis Yayasan Veteran ATM Cawangan Batu Kurau, di sini hari ini.

Semaon berkata, setiap permohonan akan dinilai secara terperinci dengan mengambil kira justifikasi serta faktor sebenar yang menyebabkan seseorang bekas anggota tidak diiktiraf sebagai veteran sebelum ini.

Katanya, panel tersebut lebih menjurus kepada pertimbangan kes-kes disiplin tertentu, khususnya yang melibatkan kesalahan ringan ketika seseorang anggota masih dalam perkhidmatan.

Bagaimanapun, beliau berkata, kebanyakan kes yang sukar dipertimbangkan semula melibatkan bekas anggota yang diberhentikan di bawah peruntukan tertentu termasuk kes yang diputuskan oleh Mahkamah Tentera.

“Kalau melibatkan kes Mahkamah Tentera dan kesalahan yang berat seperti penyalahgunaan dadah serta kesalahan disiplin serius lain, memang amat sukar untuk dipertimbangkan semula atau diberi pengiktirafan semula sebagai veteran,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Panel pengampunan bekas tentera dihidupkan semula appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved