sarah26/10/2026 - 18:14 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 26 Okt - Citaglobal Bhd bercadang melupuskan keseluruhan pegangan ekuiti 20% dalam Manjaran Sdn Bhd kepada Berjaya Property Bhd pada harga RM50 juta, sekali gus dijangka mencatatkan keuntungan sekali sahaja kira-kira RM13.39 juta daripada urus niaga tersebut.
Pelupusan itu turut menyaksikan Citaglobal bakal memiliki kira-kira 3.39% kepentingan dalam Berjaya Property, yang sebelum ini dikenali sebagai Berjaya Land Bhd, menerusi penerbitan 178.57 juta saham baharu pada harga 28 sen sesaham sebagai bayaran penuh bagi transaksi berkenaan.
Menurut makluman Citaglobal kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat telah memeterai perjanjian jual beli saham bersyarat dengan Berjaya Property bagi melupuskan 1.6 juta saham Manjaran, yang mempunyai kepentingan tidak langsung dalam pembangunan Koridor Maritim Perlis (PMC).
Cadangan pelupusan itu menilai keseluruhan ekuiti Manjaran pada RM250 juta, meningkat 25% berbanding penilaian RM200 juta ketika Citaglobal memperoleh pegangan 20% dalam syarikat tersebut pada Disember 2025.
Citaglobal sebelum ini memperoleh kepentingan berkenaan pada harga RM40 juta menerusi penerbitan 42.11 juta saham baharu syarikat pada harga 95 sen sesaham, dengan urus niaga tersebut diselesaikan pada 30 Disember 2025.
“Cadangan pelupusan ini membolehkan kumpulan merealisasikan pelaburannya dalam Manjaran berdasarkan penilaian RM250 juta, iaitu peningkatan 25% berbanding penilaian ketika pemerolehan asal, dalam tempoh kurang setahun,” menurut makluman itu.
Walaupun melepaskan pegangan ekuitinya, Citaglobal berkata, kumpulan masih berpeluang menyertai pembangunan PMC sebagai kontraktor kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) tanpa perlu menyediakan sumbangan modal ekuiti tambahan.
PMC merupakan pembangunan hab logistik bersepadu di Perlis yang merangkumi Pelabuhan Darat Perlis (PIP), Pelabuhan Sanglang Perlis (PSP) dan Hab Tenaga Perlis (PPH), dengan fasa pertama PIP telah memulakan operasi pada Mei 2026.
Menurut Citaglobal, langkah itu membolehkan kumpulan mengurangkan pendedahan terhadap keperluan modal dan risiko pelaburan ekuiti, selain berpotensi menjual saham Berjaya Property yang diterima pada masa depan bagi mendapatkan dana untuk modal kerja dan pelaburan baharu.
Cadangan pelupusan tersebut tertakluk kepada beberapa syarat termasuk kelulusan Bursa Malaysia bagi penyenaraian saham baharu Berjaya Property serta penyelesaian langganan saham Manjaran oleh Berjaya Property, dan dijangka dimuktamadkan menjelang akhir 2026. - DagangNews.com






