sarah26/10/2026 - 12:52 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 26 Okt - Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Sinohydro Corporation Ltd akhirnya mencapai penyelesaian penuh terhadap pertikaian timbang tara berkaitan projek Loji Janakuasa Connaught Bridge di Klang, Selangor, yang sebelum ini menyaksikan TNB memperoleh kebenaran mahkamah untuk menguatkuasakan keputusan timbang tara bernilai RM73.41 juta.
Penyelesaian itu dimuktamadkan menerusi penghakiman persetujuan yang direkodkan di Mahkamah Rayuan, Putrajaya pada 23 April 2026, sekali gus menamatkan semua perkara timbang tara tertunggak antara kedua-dua pihak.
Menurut kenyataan media bersama hari ini, persetujuan berkenaan dicapai antara TNB dengan Sinohydro Corporation Ltd serta anak syarikatnya di Malaysia, Sinohydro Corporation (M) Sdn Bhd.
Kedua-dua pihak mengesahkan bahawa penyelesaian tersebut dicapai berdasarkan terma yang dipersetujui bersama, tanpa sebarang pengakuan liabiliti oleh mana-mana pihak.
TNB turut mengesahkan bahawa penyelesaian berkenaan menamatkan pertikaian tersebut, namun tidak menjejaskan hak, pendirian atau urusan komersialnya pada masa hadapan, yang akan terus dinilai berdasarkan dasar dalaman dan pertimbangan perniagaan syarikat.
Sebelum ini, DagangNews.com melaporkan pada 14 November 2025 bahawa Mahkamah Tinggi membenarkan TNB menguatkuasakan keputusan tribunal timbang tara yang mengarahkan Sinohydro membayar RM73.41 juta kepada syarikat utiliti itu berhubung pertikaian prestasi projek loji janakuasa berkenaan.
Keputusan itu dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman Rajesh Raghavi yang turut menolak permohonan Sinohydro untuk mengetepikan keputusan timbang tara berkenaan, selepas mendapati cabaran tersebut pada asasnya mempertikaikan dapatan tribunal timbang tara.
Pertikaian tersebut berpunca daripada dakwaan bahawa loji yang dibina Sinohydro gagal memenuhi kadar penggunaan haba bersih terjamin (guaranteed net heat rate), iaitu penanda aras kecekapan operasi yang ditetapkan dalam kontrak.
TNB memulakan prosiding timbang tara pada 3 Mac 2021, manakala Sinohydro mengemukakan tuntutannya pada 9 April tahun sama. Tribunal timbang tara kemudiannya mengeluarkan keputusan pada 28 Mac 2024 yang mengarahkan Sinohydro membayar RM73.41 juta kepada TNB, selain RM1.52 juta bagi perbelanjaan berkaitan dan RM875,000 sebagai yuran guaman.
Bagaimanapun, kenyataan media terbaharu tidak memperincikan terma kewangan penyelesaian tersebut, termasuk sama ada jumlah bayaran yang diperintahkan menerusi keputusan timbang tara terdahulu dibayar sepenuhnya atau diselaraskan menerusi persetujuan kedua-dua pihak. - DagangNews.com




