liza05/11/2026 - 18:45 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 5 Nov – Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) mencatatkan penurunan keuntungan selepas cukai sebanyak 14.4% kepada RM440.4 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2026 (FY2026), berbanding RM514.7 juta pada tahun sebelumnya.
Penurunan itu berlaku meskipun jumlah jualan kumpulan secara keseluruhan kekal stabil, berikutan peningkatan kos berkaitan pelaburan strategik, gangguan jualan ke Kemboja serta kesan turun naik mata wang asing.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata hasil kumpulan turut menyusut 5.3% kepada RM4.92 bilion daripada RM5.20 bilion pada FY2025, manakala keuntungan operasi turun 13.6% kepada RM644.2 juta berbanding RM745.5 juta sebelumnya.
Keuntungan sebelum cukai pula merosot 14.4% kepada RM625.4 juta daripada RM730.7 juta, mencerminkan tekanan terhadap operasi kumpulan sepanjang tahun kewangan berkenaan.
Perniagaan Malaysia catat pertumbuhan hasil
Mengikut segmen, perniagaan makanan dan minuman (F&B) Malaysia mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 3.3% kepada RM3.06 bilion berbanding RM2.96 bilion pada FY2025.
Pertumbuhan itu disokong jualan domestik yang lebih tinggi bagi produk minuman, air dan tenusu, selain peluasan rangkaian pengedaran menerusi saluran perdagangan moden, perdagangan tradisional serta hotel, restoran dan katering (HORECA).
Jumlah eksport turut meningkat susulan penembusan lebih meluas di pasaran Afrika, ASEAN dan beberapa pasaran lain, namun hasil eksport terjejas oleh kelemahan dolar AS berbanding ringgit.
Bagaimanapun, keuntungan operasi segmen F&B Malaysia merosot 28.3% kepada RM200.9 juta berbanding RM280.3 juta sebelumnya, terutamanya disebabkan kos operasi lebih tinggi ketika F&N AgriValley meneruskan proses penstabilan operasi sebelum meningkatkan kapasiti pengeluaran.
Jualan Kemboja jejaskan prestasi Indochina
Sementara itu, hasil segmen F&B Indochina merosot 16.6% kepada RM1.86 bilion berbanding RM2.23 bilion pada FY2025, susulan gangguan berterusan di sempadan yang menjejaskan jualan ke Kemboja.
Prestasi segmen itu turut dipengaruhi keadaan ekonomi Thailand yang perlahan serta aktiviti pelancongan lebih lemah, meskipun jumlah jualan meningkat di Thailand, Laos dan pasaran eksport lain.
Keuntungan operasi F&B Indochina menyusut kepada RM355 juta berbanding RM474.6 juta pada tahun sebelumnya, turut dipengaruhi kos permulaan operasi pembuatan tenusu baharu di Kemboja dan kesan pertukaran mata wang baht Thailand berbanding ringgit.
AgriValley hasilkan 30 liter susu sehari bagi setiap lembu
Dalam perkembangan pelaburan strategiknya, F&N AgriValley mencatatkan hasil pengeluaran susu sebanyak 30 liter bagi setiap lembu sehari, mengatasi purata industri Malaysia sebanyak 10 liter sehari meskipun berdepan keadaan cuaca ekstrem sepanjang tahun ini.
F&N turut memulakan eksport susu segar pukal keluaran tempatan ke Singapura, sekali gus menandakan perkembangan operasi tenusu bersepadu kumpulan dalam memenuhi permintaan pasaran domestik dan serantau.
Pada Oktober 2026, F&N Foods Cambodia turut memulakan pengeluaran tempatan krimer manis Gold Coin di kemudahan pembuatannya di wilayah Kandal, Kemboja, sebagai sebahagian usaha meningkatkan kehadiran kumpulan dalam pasaran berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif F&N, Tarang Gupta berkata, kumpulan akan memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti dan kecekapan operasi F&N AgriValley, selain meningkatkan pengeluaran, memperkukuh pengedaran tempatan dan memperluas kehadiran pasaran di Kemboja.
Dividen akhir 30 sen sesaham
Dalam perkembangan lain, kumpulan mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM90.5 juta daripada pelupusan 50% kepentingannya dalam Vacaron Company Sdn Bhd sepanjang FY2026. Pelupusan itu melibatkan syarikat yang memiliki tanah seluas 5.149 hektar di Petaling Jaya, dengan F&N turut merekodkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM89.4 juta daripada transaksi berkenaan.
Kumpulan juga menjangkakan pelupusan keseluruhan kepentingannya dalam Utas Mutiara Sdn Bhd, yang memiliki tanah komersial pegangan bebas seluas 3.15 ekar di Johor Bahru, bernilai RM100 juta akan diselesaikan pada suku pertama FY2027.
Lembaga pengarah mencadangkan dividen akhir sebanyak 30 sen sesaham bagi FY2026 berjumlah kira-kira RM110 juta, berbanding 35 sen sesaham atau RM128.4 juta pada FY2025.
Sekiranya diluluskan pemegang saham pada mesyuarat agung tahunan akan datang, jumlah dividen bagi FY2026 ialah 60 sen sesaham atau RM220 juta berbanding 65 sen sesaham berjumlah RM238.4 juta pada tahun sebelumnya. Nisbah pembayaran dividen kumpulan meningkat kepada 50.3% berbanding 46.8% pada FY2025.
Fokus tingkatkan kecekapan operasi pada FY2027
Mengulas prospek, Tarang berkata, struktur modal yang sihat dan tahap penggearan berhemat memberikan fleksibiliti kewangan kepada kumpulan untuk membiayai pelaburan modal berterusan ketika berdepan ketidaktentuan geopolitik, peningkatan kos input dan persaingan dalam persekitaran pengguna.
Katanya, F&N akan terus memberi tumpuan kepada kekuatan perniagaan teras, memperluas capaian pasaran serta saluran pengedaran dan mengekalkan pengurusan kos yang berdisiplin.
Kumpulan juga akan meningkatkan kecekapan operasi bagi membolehkan pelaburan semula dalam pertumbuhan, khususnya menerusi peningkatan produktiviti F&N AgriValley dan peluasan operasi pembuatan serta pengedaran di Kemboja. - DagangNews.com






