amree30/10/2026 - 16:55 Gambar hiasan Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 30 Okt — Sebanyak 40 projek Jalan Luar Bandar (JALB) bernilai RM5.14 bilion terpaksa dibatalkan proses tender, manakala 87 projek lagi membabitkan kos RM8.10 bilion ditangguhkan pengeluaran Surat Setuju Terima (SST), susulan langkah kawalan perbelanjaan kerajaan.
Perkara itu didedahkan Setiausaha Akhbar kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Fadzmel Fadzil menerusi satu hantaran di akaun Facebooknya, sebagai menjawab dakwaan berkaitan komitmen perbelanjaan berlebihan kementerian itu.
Menurut beliau, isu berkenaan sebenarnya berpunca daripada tunggakan bayaran daripada banyak projek dilaksanakan tahun-tahun terdahulu yang masih belum lagi diselesaikan, termasuk ketika seorang bekas Menteri Kewangan memegang jawatan berkenaan.
"Segala tunggakan bayaran interim kepada kontraktor serta pampasan kepada pemilik tanah pula mencecah RM259.503 juta, melibatkan sejumlah 112 projek sehingga 30 September 2026," jelas beliau.
Keadaan tersebut, katanya, menyebabkan sebahagian besar kontraktor kecil termasuk kontraktor Bumiputera tidak menerima bayaran mereka walaupun kerja yang dipertanggungjawabkan itu sudah lama disiapkan.
Fadzmel justeru menjelaskan, KKDW terpaksa menggunakan peruntukan dalaman yang sedia ada bagi melunaskan tunggakan berkenaan, sekali gus menjejaskan pelaksanaan beberapa program pembangunan dan bantuan kepada masyarakat luar bandar dirancang pada tahun semasa.

Antara yang terkesan ialah peruntukan RM200 juta bagi pembinaan rumah baharu dan baik pulih rumah golongan miskin termasuk masyarakat Orang Asli, selain bantuan kepada usahawan kecil B40 untuk aktiviti ekonomi seperti pembelian enjin bot nelayan dan jentera pertanian.
Mengulas dakwaan bahawa Kementerian Kewangan (MOF) perlu mengambil peruntukan daripada kementerian lain bagi menyelesaikan komitmen berkenaan, beliau berkata setakat ini KKDW masih menggunakan Surat Kebenaran Berbelanja (SKB) melalui peruntukan dalaman kementerian.
"Semua komitmen projek dibuat melalui kelulusan MOF dan Kementerian Ekonomi manakala pelaksanaan dikendalikan Jabatan Kerja Raya (JKR). KKDW pula berperanan mengumpulkan keperluan masyarakat luar bandar sebelum merancang projek berdasarkan kelulusan diberikan," kata Fadzmel.
Bagaimanapun menurut beliau, surat MOF bertarikh 10 September 2026 pula mengarahkan langkah kawalan perbelanjaan, termasuk penangguhan peruntukan projek yang sudah diluluskan, tanpa menetapkan sebarang tarikh pelaksanaan semula.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan tempoh penangguhan berkenaan kerana ketidakpastian jadual pelaksanaan projek lama boleh menjejaskan perancangan pembangunan tahunan KKDW, khususnya apabila kementerian perlu menyusun senarai projek baharu setiap tahun.
Menurut hantaran itu, projek yang terjejas turut melibatkan pembangunan jalan luar bandar di Sabah dan Sarawak. Beliau menegaskan KKDW bertindak mengikut tatacara kewangan kerajaan dan menolak dakwaan bahawa projek telah dilaksanakan, kontraktor dibayar serta rakyat menerima manfaat.
"Isu berkenaan perlu dijelaskan berdasarkan fakta dan bukannya dijadikan bahan politik kerana kelewatan projek jalan luar bandar memberi kesan langsung kepada kehidupan masyarakat di Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia," tegas beliau. - DagangNews.com





