sarah02/11/2026 - 10:36 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 2 Nov - Pemaju hartanah WM Senibong Berhad merancang pelancaran projek pembangunan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) keseluruhan RM6.7 bilion di Johor, disokong jualan belum dibilkan sebanyak RM651.5 juta yang menyediakan prospek pendapatan kumpulan sehingga 2030.
Kumpulan itu berkata, rancangan pembangunan berkenaan disokong rizab tanah strategik seluas 1,426 ekar, termasuk kira-kira 960 ekar bagi projek pembangunan bersepadu Centennial ParcVista.
Menurut WM Senibong, anak syarikat milik penuhnya, WM Senibong Capital Berhad, turut mengekalkan penarafan kredit AA-IS dengan prospek stabil daripada MARC Ratings bagi program Sukuk Wakalah bernilai sehingga RM1 bilion.
Pengesahan penarafan itu mencerminkan asas perniagaan kumpulan yang kukuh, disokong prestasi pembangunan hartanah, pengurusan kewangan berdisiplin serta perancangan projek jangka panjang.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif WM Senibong, Quay Chew Keong berkata, pengekalan penarafan berkenaan mengukuhkan keyakinan terhadap prospek pertumbuhan kumpulan, khususnya ketika Johor menerima manfaat daripada peningkatan pelaburan dan pembangunan infrastruktur.
“Pengiktirafan ini terus mengukuhkan prospek pertumbuhan jangka panjang kumpulan, disokong momentum jualan yang sihat, keuntungan berterusan dan perancangan pembangunan yang besar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) serta pembangunan Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura dijangka meningkatkan daya tarikan Johor sebagai destinasi pelaburan dan kediaman, sekali gus menyokong permintaan terhadap pembangunan perbandaran bersepadu.
Sebagai latar belakang, Centennial ParcVista di Tebrau yang mempunyai anggaran GDV keseluruhan RM10 bilion dijangka memulakan pelancaran fasa pertamanya pada separuh pertama 2027, melibatkan pembangunan kediaman dan komersial bernilai kira-kira RM1.28 bilion, menurut laporan media pada Oktober lalu.
WM Senibong, yang turut membangunkan Senibong Cove, Crest\@Austin dan The Kews, mempunyai portfolio tanah keseluruhan melebihi 2,000 ekar dengan potensi GDV lebih RM30 bilion bagi menyokong pengembangan perniagaannya dalam jangka panjang. - DagangNews.com






