Paras air Taman Tasik Taiping masih normal

LocalEnvironment
30 Mar 2026 • 12:01 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Keadaan paras air di Taman Tasik Taiping masih berada pada tahap normal ketikatinjauan pada Isnin, meskipun cuaca panas dan kering melanda negara.

TAIPING - Keadaan paras air di Taman Tasik Taiping ketika ini masih berada pada tahap normal meskipun cuaca panas dan kering melanda sejak kebelakangan ini.

Tinjauan Sinar Harian pada Isnin mendapati, kawasan tasik berkenaan tidak menunjukkan penyusutan ketara dengan aktiviti riadah dan rekreasi berjalan seperti biasa.

Orang ramai dilihat terus berkunjung ke taman tersebut bagi melakukan pelbagai aktiviti termasuk berjoging, beriadah bersama keluarga serta menaiki bot kayuh.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Muhamad Akmal Dahalan berkata, penyusutan air adalah minimum dan tidak menjejaskan aktiviti di tasik.

Menurutnya, hujan lebat yang berlaku sejak Ahad membantu menstabilkan paras air tasik berkenaan.

“Alhamdulillah buat masa ini keadaan masih baik. Walaupun cuaca kering, kita tidak boleh jangka sepenuhnya, tetapi kita dapat lihat corak kitarannya.

“Saya harap dalam masa terdekat ini tidak berlaku keadaan seperti sebelum ini,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan paras air tasik boleh menyusut sekiranya cuaca panas berterusan dalam tempoh panjang.

Katanya, keadaan tersebut pernah berlaku sebelum ini sehingga menjejaskan pemandangan dan daya tarikan taman berkenaan.

“Kalau air surut, sudah tentu keadaan tasik akan kurang menarik kerana dasar tasik akan kelihatan.

“Namun kita harap jika berlaku pun, ia hanya sementara dan tidak berlarutan,” ujarnya.

Pada tahun 2024, beberapa bahagian Taman Tasik Taiping dilaporkan kering susulan cuaca panas dan kekurangan taburan hujan berpanjangan.

Taman yang dibuka sejak 1880 itu merupakan taman awam pertama di Tanah Melayu dan menjadi antara destinasi pelancongan popular yang terkenal dengan keindahan landskap serta kehijauan alamnya.