sarah29/10/2026 - 17:50 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 29 Okt - Kumpulan MBSB menyediakan kemudahan pembiayaan bernilai RM1.025 bilion kepada Ekovest Holdings Sdn Bhd (EHSB) bagi menyokong pelaksanaan projek infrastruktur dan pembangunan hartanah serta mengukuhkan kedudukan kewangan syarikat pelaburannya.
Kemudahan pembiayaan itu dimeterai menerusi MBSB Bank Berhad dan MBSB Investment Bank Berhad (MBSB IB) dengan EHSB, sebuah syarikat milik penuh Tan Sri Lim Kang Hoo yang juga Pengerusi Eksekutif Ekovest Berhad.
Menerusi perjanjian berkenaan, MBSB Bank bertindak sebagai penyedia pembiayaan, manakala MBSB IB menguruskan penyusunan kemudahan pembiayaan serta bertindak sebagai ejen kemudahan dan ejen sekuriti.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB, Rafe Haneef berkata, akses kepada modal penting bagi membolehkan syarikat meneruskan pertumbuhan dan melaksanakan perancangan perniagaan jangka panjang.
“Melalui gabungan kekuatan MBSB Bank dan MBSB Investment Bank, kami berbesar hati untuk menyokong Tan Sri Lim Kang Hoo menerusi penyelesaian pembiayaan bersepadu yang mengukuhkan aspirasi pertumbuhan beliau serta menyokong pelaksanaan projek-projek infrastruktur dan pembangunan utama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Rafe, urus niaga itu juga mencerminkan komitmen MBSB dalam membantu pelanggan mendapatkan pembiayaan yang diperlukan untuk mengembangkan perniagaan dan melaksanakan projek strategik.
Sementara itu, Kang Hoo berkata, kemudahan pembiayaan berkenaan akan menyediakan kapasiti kewangan bagi melaksanakan pelbagai langkah korporat untuk memperkukuh kedudukan modal syarikat pelaburan miliknya.
“Sokongan daripada MBSB Bank dan MBSB Investment Bank menyediakan kapasiti kewangan yang diperlukan bagi melaksanakan pelbagai latihan korporat dengan jayanya untuk mengukuhkan kedudukan modal syarikat-syarikat pelaburan, di samping menyokong pelaksanaan projek-projek utama kami dalam sektor infrastruktur dan pembangunan hartanah,” katanya.
Pembiayaan terbaharu itu turut meneruskan hubungan perniagaan antara Kumpulan MBSB dan Kumpulan Ekovest, selepas MBSB IB terlibat dalam penubuhan program sukuk Ekovest Berhad bernilai sehingga RM1.3 bilion pada 2021.
MBSB berkata, urus niaga tersebut memperlihatkan keupayaan kumpulan menawarkan perkhidmatan pembiayaan, pasaran modal dan khidmat nasihat secara bersepadu bagi membantu pelanggan mendapatkan modal serta merealisasikan peluang pertumbuhan jangka panjang.- DagangNews.com






