
LABUAN: Sabah mengambil langkah yang tepat untuk menjadi sebuah negeri maju, namun semua usaha ini boleh terjejas sekiranya PAS mula bertapak di negeri ini, kata aktivis George Elias.
“Kita mungkin berakhir seperti Kelantan yang sudah lama diperintah oleh PAS dan dianggap sebagai negeri gagal,” katanya.
Beliau mengulas rancangan PAS untuk mengembangkan pengaruhnya di sini dengan bertanding di 15 kerusi pada pilihan raya negeri akan datang.
George mempersoalkan bagaimana PAS boleh mencapai matlamat itu sedangkan parti terbabit pernah menjejaskan ekonomi Labuan apabila menarik balik status bebas cukai bagi rokok dan minuman keras ketika Menteri Wilayah Persekutuan dahulu datang daripada PAS beberapa tahun lalu.
Katanya, terdapat perbezaan besar dari segi ideologi di mana Sabah merupakan contoh negeri yang hidup dalam keharmonian, toleransi dan penerimaan.
George berkata tiada bukti menunjukkan parti itu mengambil berat terhadap rakyat Sabah yang terjejas akibat banjir dan tanah runtuh baru-baru ini.
“Hanya wakil rakyat GRS dan NGO yang tampil memberi bantuan,” katanya.


