Pas guna lambang ‘bulan’ di PRN Melaka

LocalPolitics
22 Oct 2026 • 8:10 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pas guna lambang ‘bulan’ di PRN Melaka

PETALING JAYA: Pas bakal menggunakan lambangnya sendiri untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ekoran pembatalan pendaftaran Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, buat masa ini keputusan penggunaan lambang pada PRN Melaka masih bergantung kepada keputusan rayuan yang akan dibuat oleh Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan kepada Menteri Dalam Negeri.

Katanya, rayuan itu dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang selepas PN dibatalkan pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

“Sekiranya permohonan (rayu­an) PN itu ditolak, maka penggunaan logo Pas akan digunakan (pada PRN Melaka) tak lama lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, akhbar ini melaporkan RoS membatalkan pendaftaran Perikatan Nasional selepas mendapati penjelasan dikemukakan gabungan itu gagal menyangkal asas pembatalan yang dinyatakan dalam notis terdahulu.

Menurut RoS, keputusan itu dibuat di bawah sub perenggan 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) selepas meneliti ke­seluruhan dokumen dan representasi dikemukakan PN pada 12 Oktober lalu.

Notis terdahulu bertarikh 22 September lalu dikeluarkan kepada PN di bawah subseksyen 13(2) Akta Pertubuhan 1966 bagi memberi peluang kepada parti itu mengemukakan penjelasan dan representasi berhubung perkara yang dibangkitkan.

“Setelah meneliti keseluruhan dokumen dan penjelasan yang dikemukakan, RoS mendapati alasan yang diberikan tidak dapat menyangkal asas pembata­lan pendaftaran sebagaimana dinyatakan dalam notis berkenaan.

“Ia juga tidak memberikan justifikasi yang kukuh untuk mengekalkan pendaftaran pertubuhan berkenaan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, persiapan untuk menghadapi pilihan raya telah dilakukan dan parti juga mela­kukan gerak kerja di seluruh negeri.

Tuan Ibrahim berkata, walaupun pendaftaran PN dibatalkan namun semua parti komponennya akan bergerak sebagai sebuah kesepakatan seperti biasa.

“Semua komponen akan bergerak sebagai sebuah kese­pakatan, bukan bersendirian. Bahkan jentera bersama (seluruh parti komponen) akan digerakkan disemua DUN (Dewan Undangan Negeri) yang dipertan­dingkan,” katanya.-UTUSAN.

The post Pas guna lambang ‘bulan’ di PRN Melaka appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved