Parti Islam Se-Malaysia (PAS) melahirkan rasa syukur susulan pemberian pengampunan bersyarat kepada Datuk Seri Najib Razak yang membolehkan beliau menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam kenyataan turut merafak sembah menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas perkenan Baginda terhadap pengampunan berkenaan.
Baca juga:
Pengampunan Bersyarat Najib: DAP Bincang Pendirian, Tindakan Parti Esok - Loke
Ahmad Zahid Seru Ahli UMNO Syukuri Keputusan, Hormati Proses Pengampunan Najib
Pengampunan Bersyarat Najib Tidak Jejas Ketegasan Kerajaan Perangi Rasuah - PM Anwar
Menurutnya, perkembangan tersebut bukan sahaja bermakna kepada keluarga Najib, tetapi seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa mengenang dan menghargai jasa serta khidmat bakti beliau sebagai pemimpin yang telah membawa pembangunan kepada negara dan kemakmuran kepada rakyat.
"PAS seterusnya mendoakan agar Dato’ Sri Mohd Najib terus diberikan kesihatan yang baik semasa menjalani baki hukuman terhadapnya di rumah dan yakin beliau masih boleh memberikan sumbangan idea, pandangan dan pengalamannya demi untuk kebaikan negara," katanya dalam kenyataan itu pada Jumaat.






