
KUALA LUMPUR: Keputusan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak seharusnya dikaitkan sebagai keputusan Perdana Menteri atau Pakatan Harapan (PH).
Ketua Wanita PKR, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, pengampunan merupakan kuasa Yang di-Pertuan Agong sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan perkara itu perlu dihormati semua pihak.
“Keputusan berkaitan pengampunan bersyarat Dato’ Sri Najib Tun Razak sudah tentu mengundang pelbagai reaksi. Ada yang menerima, ada yang kecewa dan ada yang marah. Kita tidak harus berpura-pura bahawa perasaan itu tidak wujud. Rakyat berhak bersuara dan mendapatkan penjelasan.
“Pada masa yang sama, kita mesti jujur dengan fakta. Pengampunan adalah wewenang Yang di-Pertuan Agong sebagaimana diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.
“Wanita PKR menghormati keputusan tersebut dan menjunjung institusi Raja Berperlembagaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, perbezaan politik tidak seharusnya menjadi alasan untuk mengaburkan kedudukan Perlembagaan atau menggambarkan keputusan pengampunan berkenaan seolah-olah dibuat oleh Perdana Menteri atau PH.
Pada masa sama, katanya, kerajaan tetap mempunyai tanggungjawab untuk memberikan penjelasan kepada rakyat berhubung perkara berkenaan.
“Dalam hal ini, pendirian kita jelas. Menghormati keputusan ini tidak bermakna pendirian kita terhadap rasuah dan salah guna kuasa berubah,” katanya.
Fadhlina berkata, PKR ditubuhkan dengan keberanian menentang salah guna kuasa dan prinsip itu perlu terus dipertahankan.
Katanya, prinsip tersebut menuntut supaya undang-undang terus berjalan tanpa mengira kedudukan, pangkat atau pengaruh seseorang.
“PKR lahir dengan keberanian melawan salah guna kuasa. Prinsip itu menuntut kita memastikan undang-undang terus berjalan tanpa mengira pangkat atau pengaruh seseorang,” katanya.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenan pengampunan bersyarat kepada Najib bagi menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta. – UTUSAN
The post Pengampunan bersyarat Najib, tidak harus dikaitkan sebagai keputusan PM atau PH – Fadhlina appeared first on Utusan Malaysia.





