'Pas tak ajar kejar jawatan' - Rafie

LocalPolitics
20 Nov 2026 • 2:44 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Pas tak ajar kejar jawatan' - Rafie
Dari kiri, Muhammad Ridzuan, Rafie dan Yadzil

MELAKA - Amanah dan tanggungjawab diberikan kerajaan negeri menjadi keutamaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Rafie Ahmad susulan pelantikannya sebagai Timbalan Exco Belia, Sukan dan NGO.

Rafie berkata, beliau tidak pernah meminta atau mengejar sebarang jawatan termasuk ketika dicalonkan mewakili Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka lalu.

Menurutnya, prinsip parti Pas tidak mengajar ahlinya untuk meminta-minta jawatan, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya keputusan kepada kebijaksanaan kepimpinan parti.

“Dalam Pas ini memang kita tidak diajar untuk meminta jawatan. Saya memang tidak pernah kejar dan meminta jawatan serta menjadi calon kerana terpulang kepada kepimpinan untuk menentukan.

“Bagaimanapun, apabila sesuatu amanah itu diberikan, maka kita perlu melaksanakannya dengan sebaik-baiknya.

“Islam mengajar kita supaya tidak meminta-minta jawatan, tetapi apabila diberikan amanah, pikullah dengan sebaiknya. Insya-ALLAH, ALLAH akan membantu,” katanya ketika mengulas pelantikannya sebagai timbalan exco dalam pentadbiran baharu kerajaan negeri Melaka.

Pada Khamis, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengumumkan barisan pentadbiran kerajaan negeri baharu termasuk tiga ADUN daripada Perikatan Nasional (PN) diberi peranan dalam pentadbiran.

Seorang daripada mereka dilantik sebagai Exco, manakala dua lagi mengisi jawatan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Timbalan Exco.

Selain Rafie, ADUN Bukit Katil, Muhammad Ridzuan Mohd Sarif daripada Pas dilantik sebagai Exco Pertanian, Alam Sekitar dan Pengurusan Bencana manakala ADUN Bemban daripada Parti Wawasan Negara (Wawasan), Dr Mohd Yadzil Yaakub dilantik Timbalan Speaker DUN Melaka.

Mengulas lanjut, Rafie berkata, pelantikan itu tidak mengubah komitmennya untuk terus menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat, sama ada diberikan jawatan dalam pentadbiran kerajaan negeri atau sebaliknya.

“Tidak kira sama ada dipilih atau pun tidak, saya akan terus menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat untuk berkhidmat kepada masyarakat," jelas beliau.

Sementara itu, Muhammad Ridzuan berkata, pelantikan itu dianggap sebagai satu amanah dan percaya pengalaman serta bidang pengajiannya mempunyai kaitan dengan portfolio yang diamanahkan.

"Saya bersyukur kerana diberikan kepercayaan dan mandat oleh Ketua Menteri, apatah lagi mempunyai latar belakang dalam bidang kesihatan persekitaran dan pekerjaan kerana ia menyentuh mengenai alam sekitar yang sememangnya antara bidang pernah saya pelajari,” jelasnya.

Katanya, pengalaman bertugas di Jabatan Kesihatan sebelum ini turut memberi pendedahan secara langsung berkaitan pengurusan bencana khususnya ketika kejadian banjir dan kawalan penyakit.

Beliau berharap dapat memberikan komitmen terbaik bersama jabatan berkaitan bagi memastikan kebajikan serta kepentingan rakyat Melaka terus diberi keutamaan.

Mengulas tindakan pertama selepas dilantik, Muhammad Ridzuan berkata, beliau akan mengadakan kunjung hormat ke jabatan-jabatan di bawah portfolio itu bagi mendapatkan maklumat serta perkembangan semasa.

Dalam perkembangan sama, Dr Mohd Yadzil merakamkan penghargaan kepada Ab Rauf atas kepercayaan melantiknya sebagai Timbalan Speaker DUN Melaka.

Beliau berkata, tanggungjawab itu menuntut kebijaksanaan, ketelitian dan komitmen bagi memastikan perjalanan persidangan DUN berlangsung dengan tertib serta teratur.

Katanya, amanah dan kepercayaan diberikan itu berlandaskan prinsip keadilan dan berkecuali ketika mengendalikan persidangan, selain menghormati hak setiap wakil rakyat untuk menyuarakan pandangan.

"Kewibawaan sesebuah Dewan bukan hanya bergantung kepada peraturan, malah turut memerlukan kematangan ketika berbahas, keterbukaan menerima perbezaan pandangan dan sikap saling menghormati antara wakil rakyat," tambah beliau.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved