
PETALING JAYA: Pas menuntut penjelasan daripada kerajaan berhubung penangguhan permohonan pengampunan terhadap Datuk Seri Najib Razak dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-63 pada Jumaat lalu.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya beranggapan bahawa penangguhan permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri itu tidak akan berlaku dengan sendirinya.
“Pas beranggapan penangguhan permohonan Datuk Seri Najib Razak di hadapan Mesyuarat Lembaga Pengampunan tersebut tidak akan berlaku secara sendirinya melainkan terdapat arahan atau bantahan daripada mana-mana pihak sama ada dari kalangan ahli-ahli lembaga ataupun dari mana-mana pihak ketiga lain yang berkepentingan.
“Justeru, Pas menuntut pihak kerajaan dengan segera menjelaskan perkara ini kepada umum kerana ia adalah suatu isu berkepentingan awam yang tidak wajar dihalang dari pengetahuan rakyat jelata,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jumaat lalu, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri (BHEUU) memaklumkan satu Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-63 Bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim diadakan.
Kenyataan tersebut turut menyatakan Sultan Ibrahim berkenan supaya permohonan Najib ditangguhkan ke suatu Mesyuarat Lembaga Pengampunan lain yang akan diadakan kelak.
Kenyataan itu memaklumkan Yang di-Pertuan Agong turut berkenan membebaskan 65 banduan pada 11 September 2026.
Semua banduan bukan warganegara hendaklah diusir dan dihantar pulang ke negara asal dalam tempoh enam bulan selepas dibebaskan.
Sebelum ini, media melaporkan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dijangka bermesyuarat untuk mempertimbangkan, antara lain permohonan Najib bagi mendapatkan pengampunan terhadap sabitan berkaitan kes seleweng dana SRC International Sd.n Bhd.
Pada Julai 2020, bekas perdana menteri itu yang disabitkan atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International didenda RM210 juta dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun yang kemudian dikekalkan Mahkamah Persekutuan pada Ogos 2022.
Bagaimanapun pada 2 Februari 2024, Urusetia Lembaga Pengampunan mengumumkan Najib diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara, daripada 12 tahun ke enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. – UTUSAN
The post Pas tuntut penjelasan penangguhan pengampunan Najib appeared first on Utusan Malaysia.






