Pasang Jalur Gemilang terbalik, premis perindustrian diarah tutup

LocalPolitics
17 Aug 2026 • 3:16 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pasang Jalur Gemilang terbalik, premis perindustrian diarah tutup

KULAI: Sebuah premis perindustrian di sini diarahkan tutup serta-merta oleh Majlis Perbandaran Kulai (MPKU) selepas didapati mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik di premis itu.

Tindakan tegas itu diambil bagi memastikan pihak pengurusan syarikat bertanggungjawab sepenuhnya atas kecuaian yang menjejaskan simbol kedaulatan dan maruah negara.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, premis berkenaan akan kekal ditutup sehingga pihak syarikat tampil memberikan penjelasan rasmi serta melengkapkan perakuan aku janji.

“Penutupan premis ini mempunyai asas undang-undang yang kukuh di bawah peruntukan Undang-Undang Kecil 49(2) bagi Kuasa Menutup Premis dan UUK 45(1) berkaitan Pengibaran Bendera mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian 2019.

“Meskipun kedudukan bendera telah diperbetulkan serta-merta, tindakan penguatkuasaan tetap diteruskan tanpa sebarang kompromi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd. Jafni, susulan penutupan premis itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini menjalankan siasatan lanjut dan bakal memanggil pengarah syarikat berkenaan dalam masa terdekat untuk memberikan keterangan.

“Saya kesal dan kecewa dengan kecuaian serta tindakan tidak bertanggungjawab ini kerana Jalur Gemilang bukan sekadar sehelai bendera tetapi lambang kedaulatan, maruah dan identiti negara.

“Perkara seperti ini tidak boleh dianggap remeh, tidak boleh dinormalisasikan dan tidak boleh dibiarkan berlalu tanpa tindakan,” ujarnya.

Jelasnya, Pejabat Daerah Kulai turut menyelaras tindakan bersama agensi berkaitan bagi memastikan tindakan undang-undang dilaksanakan secara telus dan tanpa pilih kasih.

Beliau juga memberi amaran keras kepada seluruh pemilik premis, syarikat dan pengusaha industri di Johor agar tidak memandang ringan isu pengibaran bendera kebangsaan.

“Alasan cuai langsung tidak boleh diterima untuk menghalalkan tindakan membelakangkan penghormatan terhadap Jalur Gemilang. Prinsip Kerajaan Negeri Johor amat jelas bahawa maruah negara mesti dipelihara, Jalur Gemilang mesti dihormati dan undang-undang mesti ditegakkan,” katanya.

Terdahulu tular di media sosial gambar menunjukkan Jalur Gemilang dalam keadaan terbalik di hadapan sebuah premis perindustrian sehingga menimbulkan reaksi kemarahan orang ramai. – UTUSAN

 

The post Pasang Jalur Gemilang terbalik, premis perindustrian diarah tutup appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved