
Kerajaan Negeri Johor memandang serius insiden pemasangan Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Johor secara terbalik di sebuah premis perindustrian dalam kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Kulai (MPKU).
Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, YB Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md Shukor menerusi satu hantaran di laman Facebook.
Kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai itu, kejadian berkenaan merupakan satu kecuaian yang tidak sepatutnya kerana kedua-dua bendera tersebut melambangkan maruah, identiti dan kedaulatan negara serta negeri.
"Saya kesal dan kecewa dengan kecuaian serta tindakan tidak bertanggungjawab ini. Jalur Gemilang bukan sekadar sehelai bendera, tetapi lambang kedaulatan, maruah dan identiti negara.
"Begitu juga Bendera Negeri Johor yang membawa identiti, maruah dan kedaulatan negeri serta wajib dihormati oleh setiap pihak yang berada dan menjalankan urusan di bumi Johor.
"Perkara seperti ini tidak boleh dianggap remeh, tidak boleh dinormalisasikan dan tidak boleh dibiarkan berlalu tanpa tindakan.
"Lebih-lebih lagi apabila dua simbol penting, Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Johor didapati dipasang dalam keadaan terbalik di premis yang sama," katanya dalam kenyataan itu.
Pasang Bendera Terbalik: Premis Diarah Tutup Sementara

Sehubungan itu, MPKU telah mengambil tindakan menutup sementara premis berkenaan sehingga pihak syarikat tampil memberikan penjelasan serta melengkapkan perakuan Aku Janji.
Kedua-dua bendera yang dipasang secara tidak betul itu juga telah diperbetulkan dengan serta-merta.
Mengulas lebih lanjut, beliau berkata Pegawai Daerah Kulai melalui Pejabat Daerah Kulai turut mengambil tindakan susulan serta menyelaras perkara ini bersama MPKU dan agensi berkaitan bagi memastikan tindakan sewajarnya dilaksanakan dengan segera mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Pada masa sama, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan, manakala pengarah syarikat berkenaan akan dipanggil dengan kadar segera untuk memberikan penjelasan.
Sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang atau syarat yang berkuat kuasa, tindakan selanjutnya mesti diambil tanpa pilih kasih.
Tindakan PBT ini mempunyai asas sebagaimana pendekatan yang pernah dilaksanakan sebelum ini, termasuk melalui UUK 49(2) – Kuasa Menutup Premis dan UUK 45(1) – Pengibaran Bendera di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian 2019 yang diguna pakai oleh PBT di Negeri Johor.
"Saya mahu memberikan peringatan tegas kepada semua pemilik premis, syarikat dan pihak industri di Negeri Johor: hormatilah Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Johor.
"Pastikan setiap pemasangan bendera dibuat dengan betul, tertib dan penuh rasa tanggungjawab. Alasan kecuaian tidak boleh dijadikan alasan untuk memandang ringan penghormatan terhadap simbol kedaulatan negara dan negeri.
Baca juga:"Kerajaan Negeri Johor tidak akan berkompromi dalam soal penghormatan terhadap Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Johor.
"Kita akan menunggu hasil siasatan bagi menentukan punca serta tanggungjawab pihak terlibat, namun pendirian kita jelas, maruah negara mesti dipelihara, maruah Negeri Johor mesti dijunjung, bendera mesti dihormati dan undang-undang mesti ditegakkan," katanya.







