
Kerajaan Negeri Johor memandang serius kejadian pemasangan Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Johor secara terbalik di sebuah premis perindustrian dalam kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Kulai (MPKU).
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, kejadian itu amat dikesali kerana melibatkan dua simbol penting yang melambangkan kedaulatan, maruah dan identiti negara serta negeri.
Menurutnya, tindakan memasang bendera secara terbalik tidak seharusnya dianggap sebagai perkara kecil atau dinormalisasikan tanpa sebarang tindakan.
Susulan kejadian itu, MPKU mengambil tindakan menutup sementara premis berkenaan sehingga pihak syarikat memberikan penjelasan dan melengkapkan perakuan Aku Janji. Kedua-dua bendera yang dipasang secara tidak betul turut diperbetulkan serta-merta.
Dalam pada itu, Pegawai Daerah Kulai menerusi Pejabat Daerah Kulai mengambil tindakan susulan dengan menyelaras perkara berkenaan bersama MPKU dan agensi berkaitan bagi memastikan tindakan sewajarnya dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang.
Baca juga:
- Premis di Kulai ditutup selepas Jalur Gemilang, bendera Johor dipasang terbalik
Caprice diperintah mohon maaf, bayar RM220,000 kepada Ebit Lew
Polis Pahang nafi dakwaan kartel dadah besar beroperasi di Genting Highlands
Mohd Jafni berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menjalankan siasatan dan pengarah syarikat berkenaan akan dipanggil dalam masa terdekat untuk memberikan penjelasan.
“Sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang atau syarat ditetapkan, tindakan lanjut akan diambil tanpa pilih kasih,” katanya.
Beliau menjelaskan, tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu mempunyai asas berdasarkan pendekatan yang pernah dilaksanakan sebelum ini, termasuk UUK 49(2) berkaitan kuasa menutup premis dan UUK 45(1) berkaitan pengibaran bendera di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian 2019 yang diguna pakai PBT di Johor.
Sehubungan itu, beliau memberi peringatan kepada semua pemilik premis, syarikat dan pihak industri di Johor supaya memastikan setiap pemasangan bendera dilakukan dengan betul, tertib serta penuh rasa tanggungjawab.
Katanya, Kerajaan Negeri Johor tidak akan berkompromi dalam soal penghormatan terhadap Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Johor, selain menegaskan maruah negara dan negeri perlu dipelihara serta undang-undang mesti ditegakkan.
The post Premis di Kulai ditutup selepas Jalur Gemilang, bendera Johor dipasang terbalik appeared first on The Reporter.






