
BELURAN: Sepasang suami isteri ditahan selepas didapati memiliki lima paket disyaki syabu seberat 250.32 gram dan bernilai kira-kira RM27,000 di tepi jalan sebuah ladang kelapa sawit milik persendirian di Kampung Cenderamata, Tagas-Tagas, di sini, pagi Rabu.
Pasangan masing-masing berusia 38 dan 28 tahun itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran kira-kira jam 7 pagi.
Ketua Polis Daerah Beluran Superintendan Hasan Majid berkata pemeriksaan terhadap salah seorang suspek membawa kepada penemuan lima paket plastik berisi bahan kristal dipercayai syabu.
“Dadah berkenaan mempunyai berat kasar 250.32 gram dengan anggaran nilai RM27,000.
“Kedua-dua suspek adalah warga tempatan dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata ujian saringan air kencing turut mendapati kedua-dua suspek positif amphetamine dan methamphetamine.
Pasangan berkenaan kini ditahan di Balai Polis Beluran bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sekurang-kurangnya 12 sebatan jika disabitkan kesalahan.
Hasan berkata polis memandang serius kegiatan pengedaran, pemilikan dan penyalahgunaan dadah serta mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat bagi membantu membanteras kegiatan berkenaan.
Sementara itu, di KINABATANGAN, seorang lelaki warga asing berusia 30 tahun ditahan selepas polis menemui 30.19 gram dadah dipercayai methamphetamine (syabu) dalam satu operasi Ops Tapis Narkotik di sebuah pondok terbuka di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sungai Rotan, di sini, Selasa lalu.
Operasi itu dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kinabatangan sebagai sebahagian daripada usaha membanteras pengedaran dan penyalahgunaan dadah di daerah berkenaan.
Polis berkata lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Ketua Polis Daerah Kinabatangan Superintendan Janeve Sindih berkata polis akan terus mempergiatkan operasi bagi membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah di daerah berkenaan.






