
JOHOR BAHRU- Pasangan suami isteri mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian terhadap seorang bayi lelaki berusia tiga bulan di Masai, di sini bulan lalu.
Tertuduh, Mohd. Iqbal Hassan, 36, dan isteri, Norsiayana Abd. Samad, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.
Mengikut pertuduhan, tertuduh secara bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Muhammad Saif Mohamad Sidiq, mendedahkan bayi itu dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal sehingga menyebabkan kematian.
Perbuatan itu didakwa dilakukan pada pukul 1.03 petang di sebuah rumah di Jalan Cendana 21, Taman Rinting, Masai, pada 29 Julai lalu.
Bagi pendakwaan itu, kedua-dua tertuduh telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak (pindaan) 2006, dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Pasangan suami isteri itu berdepan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun, atau dengan denda tidak melebihi RM50,000, atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Shamira Mohd. Luthfi Ismail manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), K. Bharathi.
Bharathi memohon jaminan yang minima buat anak guamnya setelah Mohd. Iqbal yang merupakan pekerja kilang mempunyai pendapatan RM3,000 sebulan manakala Norsiayana memiliki pendapatan kira-kira RM2,000 sebagai pengasuh, mempunyai tanggungan seorang anak berusia empat tahun.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin berjumlah RM7,000 bagi setiap tertuduh serta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan.
Mahkamah juga menetapkan 17 September depan sebagai tarikh sebutan bagi pembentangan fakta kes dan hukuman terhadap kedua-dua tertuduh.- KOSMO! ONLINE
The post Pasangan suami isteri dituduh sebabkan kematian bayi tiga bulan appeared first on Kosmo Digital.






