Pasangan Suami Isteri Mengaku Salah Sebabkan Kematian Bayi

14 Aug 2026 • 3:20 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Pasangan Suami Isteri Mengaku Salah Sebabkan Kematian Bayi

JOHOR BAHRU - Sepasang suami isteri mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas pertuduhan mendedahkan bayi lelaki berusia tiga bulan dalam jagaan mereka kepada keadaan yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal sehingga mengakibatkan kematian bayi berkenaan, bulan lalu.

Mohd Iqbal Hassan, 36, dan Norsiayana Abd Samad, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dipinda dibacakan di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Mengikut pertuduhan, pasangan yang menjaga bayi berusia tiga bulan 11 hari berkenaan didakwa mendedahkannya dalam keadaan yang berkemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal sehingga menyebabkan kematiannya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Cendana 21, Taman Rinting, Masai, kira-kira jam 1.03 petang pada 29 Julai lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak (Pindaan) 2006, yang boleh dihukum di bawah seksyen sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Shamira Mohd Luthfi Ismail mengendalikan pendakwaan, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), K Bharathi.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM7,000 setiap seorang dengan syarat tambahan iaitu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali, menyerahkan pasport kepada mahkamah serta tidak menghubungi atau mengganggu saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 17 September depan untuk sebutan semula kes, ketika pihak pendakwaan dijangka mengemukakan fakta kes sebelum hukuman dijatuhkan. - Getaran, 14 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved