Pekerja kontrak dipenjara sembilan bulan, tipu sewa rumah

14 Aug 2026 • 5:38 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pekerja kontrak dipenjara sembilan bulan, tipu sewa rumah

JOHOR BAHRU: Seorang pekerja kontrak dihukum penjara sembilan bulan dari tarikh sabitan oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas kesalahan melakukan penipuan sewa rumah atas talian membabitkan kerugian keseluruhan RM36,425, dua bulan lalu.

Tertuduh, Mohd. Azuan Mustaffa, 39, mengaku bersalah selepas kesemua sembilan pertuduhan pilihan dibacakan terhadapnya di mahkamah berlainan.

Di hadapan Hakim Madihah Zainol, tertuduh berdepan empat pertuduhan secara tidak jujur menolong mengalihkan wang milik empat orang mangsa ke dalam akaun YTL Digital Bank Berhad miliknya berjumlah keseluruhan RM11,275.

Di mahkamah berlainan, tertuduh berdepan lima pertuduhan bagi kesalahan yang sama membabitkan kerugian keseluruhan berjumlah RM25,150 di hadapan Hakim Ronie Anak Entili.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di beberapa lokasi berbeza antaranya di Bukit Chagar, Danga Bay dan Taman Suria di daerah ini antara 21 hingga 27 Jun lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai lima tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Amirah Tasnim Saleh dan R. Nevina manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, K. Bharathi.

Terdahulu, Bharathi memohon anak guamnya hanya dikenakan penjara kerana pekerja kontrak itu sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Simpang Renggam, Kluang atas kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana air kencing positif dadah.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dikenakan hukuman penjara satu bulan bagi setiap pertuduhan yang akan berjalan secara berasingan.

Mengikut fakta kes, kesemua mangsa diperdaya dengan penipuan sewa rumah setelah melihat iklan sewa rumah di aplikasi Mudah.my sebelum membuat transaksi pembayaran ke dalam akaun dalam talian milik tertuduh.

Mangsa menyedari diri mereka ditipu apabila tidak memperoleh kunci rumah sewa serta gagal menghubungi suspek selepas pembayaran telah dibuat.-UTUSAN

The post Pekerja kontrak dipenjara sembilan bulan, tipu sewa rumah appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved