
DUBAI – Hanya selepas setahun menetap di Dubai, di Emiriyah Arab Bersatu (UAE), seorang lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Steve, mendapati dirinya berjaya berpindah ke kediaman yang lebih selesa secara tidak disangka-sangka.
Dia mengambil kesempatan daripada kejatuhan harga pasaran hartanah di negara itu berikutan konflik yang melanda rantau Asia Barat.
Pangsapuri baharu yang didiami oleh lelaki berusia 35 tahun itu bukan sahaja lebih luas dan berhampiran dengan tempat kerjanya berbanding kediaman lama, malah kadar sewanya juga 15 peratus lebih murah.
“Semasa saya mula tiba di Dubai pada tahun 2025, amat sukar untuk mendapatkan kediaman di kawasan ini dan kadar sewa ketika itu amat tinggi,” katanya.
Pasaran hartanah Dubai, yang menjadi antara tonggak utama ekonominya, melonjak pesat beberapa tahun kebelakangan ini.
Pertumbuhan tersebut didorong oleh kemasukan jutawan dan pelabur antarabangsa yang tertarik dengan gaya hidup mewah yang ditawarkan di negara berkenaan.
Bagaimanapun, konflik perang di Asia Barat pada lewat Februari lalu telah membendung kadar pertumbuhan pesat tersebut.
Firma perunding hartanah antarabangsa, Knight Frank, mengesahkan kejatuhan harga purata antara 5 hingga 20 peratus di seluruh pasaran arus perdana bandar tersebut bergantung kepada lokasi, selepas mencatatkan lonjakan drastik sehingga 82.9 peratus sejak 2021.
Pasaran hartanah di Dubai pernah terjejas sebelum ini, terutamanya semasa krisis ekonomi 2008 dan pandemik Covid-19.
Menurut laporan oleh agensi Betterhomes yang berdasarkan angka rasmi, nilai transaksi jualan pada suku kedua tahun 2026 telah menurun sebanyak 45 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas, dengan sektor mewah menerima kesan yang amat ketara.
Malah bulan lalu, agensi berita The Guardian melaporkan jualan hartanah di Dubai telah “jatuh mendadak” menurut seorang pemerhati pasaran terkemuka, selepas peperangan di Asia Barat.
Menurut penyelidik ValuStrat, transaksi jualan di bandar tersebut merosot sebanyak 19 peratus pada Mei lalu berbanding bulan sebelumnya.
Transaksi kini berada di bawah separuh berbanding tahap pada tempoh yang sama tahun lepas. – AGENSI
The post Pasaran hartanah Dubai ‘jatuh mendadak’, kesan perang AS, Iran appeared first on Kosmo Digital.





