liza25/09/2026 - 10:02 Noraini Ahmad Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 25 Sept – Malaysia terus memperkukuh pasaran minyak sawit di India dengan memperluas kerjasama perdagangan, membuka peluang baharu bagi produk berasaskan sawit bernilai tinggi serta mengukuhkan hubungan dengan pemain industri negara itu.
Bagi mencapai matlamat tersebut, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad akan mengetuai misi rasmi Malaysia ke India dari 27 September hingga 1 Oktober 2026 yang diselaraskan Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC).
Misi berkenaan turut bertujuan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pembekal minyak sawit dan produk berasaskan sawit yang mampan serta boleh dipercayai, selain menggalakkan kerjasama lebih luas antara kerajaan dan sektor perniagaan kedua-dua negara.
Ketua Pegawai Eksekutif MPOC, Belvinder Kaur Sron berkata India kekal sebagai pasaran eksport minyak sawit terbesar Malaysia selama 13 tahun berturut-turut.
“Pada 2025, Malaysia mengeksport 2.94 juta tan minyak sawit dan produk berasaskan sawit ke India bernilai RM14.15 bilion.
“Minyak sawit menyumbang kira-kira 51% daripada keseluruhan import minyak makan India dan 34% daripada jumlah penggunaan minyak makan negara itu, menjadikannya sumber penting kepada keperluan makanan India,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya India kekal penting dalam strategi pembangunan pasaran jangka panjang industri minyak sawit Malaysia, dengan hubungan perdagangan antara kedua-dua negara terus menunjukkan perkembangan positif.
Eksport sawit Malaysia ke India meningkat
“Eksport minyak sawit Malaysia ke India meningkat 40.4% kepada 2.26 juta tan dalam tempoh lapan bulan pertama 2026, manakala bahagian Malaysia dalam import minyak sawit India meningkat kepada 39.2%.
“Peningkatan itu mencerminkan keyakinan berterusan pembeli India terhadap kualiti, kebolehpercayaan bekalan dan aspek kelestarian minyak sawit Malaysia.
“Misi berkenaan akan turut memberi tumpuan kepada peluang baharu dalam produk hiliran seperti bahan kimia berasaskan sawit (oleokimia), lemak khusus (specialty fats) serta aplikasi lain yang mempunyai nilai lebih tinggi,” katanya.
Program itu akan meliputi Bengaluru dan Mumbai dengan Noraini dijadual mengadakan pertemuan bersama wakil kerajaan, syarikat utama, persatuan industri serta penyedia teknologi India.
Di Bengaluru, beliau akan bertemu pimpinan Kerajaan Karnataka serta syarikat makanan, barangan pengguna dan teknologi pertanian utama India untuk membincangkan bekalan minyak sawit, produk hiliran, sumber mampan, pembangunan tanaman kelapa sawit dan pertanian digital.
Di Mumbai pula, Noraini dijadual menyampaikan ucaptama pada persidangan Globoil India 2026 pada 30 September yang menghimpunkan kira-kira 1,500 peserta daripada rantaian nilai industri minyak dan lemak sawit global.
Beliau turut akan bertemu barisan kanan Solvent Extractors’ Association of India serta pemimpin industri lain bagi membincangkan perkembangan pasaran, keperluan bekalan dan peluang kerjasama jangka panjang.
MPOC berkata, misi itu dijangka memberi gambaran lebih jelas mengenai keperluan pasaran India yang semakin berkembang, selain memperkukuh hubungan perniagaan antara syarikat Malaysia dan India serta mewujudkan asas bagi kerjasama susulan antara pembekal Malaysia dan rakan niaga India.- DagangNews.com






