Pasukan khas tangani ketirisan hasil pelabuhan masih dibincang

LocalPolitics
6 Aug 2026 • 8:47 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pasukan khas tangani ketirisan hasil pelabuhan masih dibincang

KUALA LUMPUR: Cadangan penubuhan pasukan petugas bersama antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menangani ketirisan hasil negara di pelabuhan masih belum dimuktamadkan.

JKDM berkata, perbincangan antara kedua-dua agensi masih berjalan dan butiran lanjut mengenai kerjasama berkenaan akan diumumkan selepas persetujuan dicapai.

“Perkara ini masih dalam perbincangan antara kedua-dua agensi.

“Maklumat rasmi akan dikongsikan dengan pihak media selepas ia dimuktamadkan,” katanya dalam kenyataan.

Perkembangan itu menyusul selepas Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Centre) menggesa supaya cadangan inisiatif berkenaan dilaksanakan dengan ketelusan yang lebih tinggi, disertai perlindungan yang lebih kukuh serta mekanisme akauntabiliti yang lebih jelas.

Ketua Penyelidikan dan Advokasi Dasar C4 Centre, Arief Hamizan berkata, walaupun cadangan penubuhan pasukan petugas itu merupakan langkah positif bagi menangani kelemahan dalam aspek penguatkuasaan, peranan, bidang kuasa serta mekanisme pelaksanaannya perlu ditakrifkan dengan jelas.

Katanya, garis panduan yang jelas diperlukan bagi memastikan pasukan petugas itu dapat berfungsi secara berkesan, mengelakkan pertindihan tanggungjawab, serta menghasilkan impak yang bermakna dalam usaha menangani isu tadbir urus.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman pada 15 Julai lalu dipetik berkata, cadangan menubuhkan pasukan petugas khas itu telah dibincangkan dengan rakan sejawatnya dari JKDM, Datuk Seri Amran Ahmad.

Turut dibincangkan cabaran khususnya berkaitan urusan pemeriksaan kastam, selain membincangkan kerenah birokrasi dan pelbagai isu domestik dihadapi JKDM.

Amran pula berkongsi maklumat mengenai taktik sindiket yang mengelak pembayaran cukai, termasuk kegiatan penyeludupan serta pemalsuan maklumat atau dokumen bagi mendapatkan kelulusan bawah kategori berbeza.

Perkembangan itu menyusul ketika pemain industri membangkitkan isu tadbir urus di pelabuhan terutama berhubung dakwaan percanggahan antara bil muatan dan pergerakan fizikal kargo petroleum.-UTUSAN

The post Pasukan khas tangani ketirisan hasil pelabuhan masih dibincang appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved