
RANTAU PANJANG – Cubaan dua pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk menyelinap masuk ke negara ini secara haram berakhir tragedi apabila salah seorang daripada mereka dikhuatiri lemas di Sungai Golok dekat pangkalan haram Abe Yie Parking di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.15 pagi itu, seorang daripada PATI berkenaan lemas apabila terjun ke dalam Sungai Golok ketika cuba melarikan diri daripada ditangkap anggota Pasukan Gerakan Am (PGA).
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, anggota PGA membuat rondaan secara berjalan kaki di kawasan pangkalan haram itu sebelum mendapati dua lelaki berada di tebing sungai itu.
Katanya, kedua-dua lelaki itu berada behampiran dengan pagar kawat berduri yang telah dirosakkan di pangkalan haram tersebut.
“Menyedari kehadiran anggota PGA yang berada sejauh kira-kira lima meter, dua lelaki itu bertindak terjun ke dalam Sungai Golok dan berenang ke arah tebing sungai di sempadan Thailand.
“Anggota PGA melihat salah seorang daripada lelaki tersebut sempat berpaut pada tali sebelum pemandu bot dari sebelah Thailand datang menyelamat dan membawanya ke tebing sungai di negara berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Ahmad Radzi memberitahu, seorang lagi PATI telah hanyut dan dikhuatiri lemas di Sungai Golok.
Katanya, identiti dan warganegara PATI yang lemas itu masih belum dapat dikenal pasti.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Zulhafizi Fauzi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai mangsa lemas di Sungai Golok kira-kira pukul 6.27 pagi tadi.
Menurutnya, operasi mencari mangsa di lokasi kejadian sedang dijalankan. – KOSMO! ONLINE
The post PATI lemas di Sungai Golok ketika elak kena cekup appeared first on Kosmo Online.






