“Patutlah Rasa Lain, Rupanya Aku Autistik” – Wanita Kongsi Perjalanan Disahkan Autisme Dewasa

Health & FitnessLifestyle
30 Jul 2025 • 2:38 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Sebut sahaja pasal autisme, pasti ramai di kalangan rakyat Malaysia yang sudah mengetahui tentang gangguan perkembangan minda ini.

Kebanyakan daripada kita mengetahui bahawa Gangguan Spektrum Autisme (ASD) dapat dikesan ketika seseorang itu masih kecil. Seperti yang ditunjukkan di media sosial, kebanyakan individu autistik adalah di kalangan kanak-kanak.

Bagaimanapun, tahukan korang yang autisme dewasa pun boleh berlaku dan masih ramai yang tidak sedar.

Wanita dedah diri disahkan autistik setelah dewasa

Seperti baru-baru ini, seorang wanita yang dikenali sebagai Sha Ramson Abdullah telah berkongsi kisahnya sebagai seorang autistik dewasa di laman Facebook miliknya.

Menurut Sha Ramson, dia disahkan seorang autistik (ASD Level 1) dan ADHD (AuDHD) pada 2 Julai lalu oleh pakar psikiatri.

Jelasnya, diagnosis ini dibuat berdasarkan diagnosis klinikal menggunakan dua kaedah iaitu:

  • DSM-5 (Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders, Fifth Edition)
  • IQ Test Ujian WAIS (Wechsler Adult Intelligence Scale)

Jelasnya, dia pada masa ini dalam proses belajar dan menyesuaikan gaya hidupnya mengikut kemampuan dan kapasiti diri, bersesuaian dengan keperluan neurologinya sebagai individu neurodivergent.

Tak ramai orang tahu wujudnya austime dewasa, bukan hanya kanak-kanak

Menurutnya lagi, tidak ramai orang yang mengetahui bahawa wujudnya autisme di dalam kalangan orang dewasa seperti dirinya.

“Ramai orang dewasa hari ni yang hidup bertahun-tahun tanpa tahu rupanya mereka adalah seorang Autism.

“Mereka bekerja, bergaul, ada keluarga, ada kerjaya tapi dalam diam mereka struggle benda-benda yang orang lain anggap ‘kecil’. Dari luaran nampak okay tapi hanya Allah yang tahu betapa penatnya mereka menyesuaikan diri,” katanya.

Kenapa ramai autisme dewasa tak dikesan dari kecil?

Sha Ramson turut menyenaraikan beberapa sebab kenapa ada individu autistik hanya dapat dikesan setelah dewasa.

#1 Dulu tidak ada kesedaran

Di Malaysia khususnya, pendidikan tentang neurodiversity sangat terhad 10 hingga 20 tahun lalu. Budak yang ‘lain sikit’ biasanya cuma dilabel sebagai:

  • Lembab
  • Pemalu
  • Degil
  • Terlalu sensitif
  • Keras kepala

#2 Austime ringan (level 1) selalunya tersembunyi

Mereka boleh ikut kelas, boleh jawab soalan tapi tak tahu kenapa susah nak faham interaksi sosial. Tak boleh buat perkara kecil atau perkara mudah yang orang lain boleh buat, ada perangai, kadang rasa tak guna dan banyak benda yang kita sendiri tidak faham.

#3 Perempuan autistik sangat pandai ‘masking’

Ramai perempuan autisme dewasa yang bertopeng sepanjang hidup. Mereka ikut orang, tiru gaya kawan, senyum walau hati tak suka. Lama-lama, burnout.

Tanda-tanda austime pada orang dewasa

Mungkin ada di antara korang yang ingin tahu apakah tanda-tanda autisme pada orang dewasa bukan? Jadi ini yang dikongsikan oleh Sha Ramson mengenai tanda-tandanya.

#1 Sensory sensitiviti

  • Tak tahan bunyi kuat, lampu terang, tempat ramai orang.
  • Rasa tidak selesa bila kaiin baju sentuh kulit atau bila cuaca terlalu panas/sejuk.

#2 Struggle untuk faham ‘isyarat sosial’

  • Tak faham maksud sindiran, perli atau ‘hint’.
  • Ambil semua perkataan secara literal. Contohnya, kalau orang cakap ‘pintu hati tertutup’ dia betul-betul bayang pintu.

#3 Mudah burnout

  • Letih sangat bila bergaul. Lepas jumpa orang, terus lesu seminggu.
  • Otak jadi penat sebab kena kawal semua: muka, nada suara, reaksi.

#4 Perlu rutin yang konsisten

  • Panik bila rutin berubah tiba-tiba.
  • Sukakan benda yang sama: makan tempat sama, susun barang ikut cara sendiri.

#5 Susah nak buat keputusan kecil

  • Tak tahu nak pilih warna baju atau nak makan apa. Ini pun struggle juga.
  • Otak ‘beku’ bila terpaksa buat banyak pilihan sekaligus.

#6 Terlalu jujur dan lurus

  • Bila jawab, terlalu terus terang atau suka cakap lepas.
  • Kadang disalah faham sebagai ‘kurang ajar’ atau ‘kasar’.

#7 Pandai sembunyikan emosi

  • Luaran nampak tenang tapi dalam hati penuh gelora.
  • Bila overwhelmed, boleh shutdown dan terus diam tanpa suara. Marah kena pendam. Sedih dan kecewa perlu diam. Akhirnya makan diri sendiri.

Perlu diingatkan, individu yang memiliki tanda-tanda ini tak bermakna memang sah autisme sebab untuk sahkan seseorang autistik perlulah menjalani ujian dan disahkan oleh psikologi klinikal bertauliah dan psikiatri pakar dalam neurodevelopmental.

“Autisme dewasa adalah realiti yang masih kurang dibincangkan. Ramai yang hidup bertahun-tahun dalam rasa bersalah, keliru dan letih tanpa tahu kenapa. Mereka bukan gila.

“Bukan lemah. Bukan degil. Mereka cuma Autistik.Apabila mereka tahu mereka seorang Autism, mereka boleh mula menyayangi diri dengan cara yang lebih sesuai dan lebih baik,” ujar Sha Ramson.

Banyak lagi yang dikongsikan oleh Sha Ramson, korang mungkin boleh tengok and baca berkongsian yang sangat-sangat bermanfaat ini di laman Facebook miliknya.