Pavilion REIT diramal terima manfaat penurunan kos pembiayaan, elektrik - HLIB

10/10/2025 - 09:22
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 10 Okt - Pavilion Real Estate Investment Trust (Pavilion REIT) diramal menerima manfaat daripada penurunan kos pembiayaan dan elektrik selain pusat beli-belahnya, Da Men Mall yang terletak di Subang Jaya kini mempunyai penyewa serta pengurus baharu.
Hong Leong Investment Bank (HLIB) berkata, pusat beli-belah yang mengalami kerugian itu - yang menyumbang kira-kira 2% daripada hasil FY24 Pavilion REIT - akan dijenamakan semula sebagai Easyhome Mall selepas pengambilalihan operasi oleh syarikat berpangkalan di China, Easyhome, melalui perjanjian pajakan induk baharu.
Katanya, langkah tersebut akan membolehkan pendapatan bersih harta (NPI) pusat beli-belah itu mencapai tahap pulang modal menjelang Oktober 2025.
Firma penyelidikan itu berkata, kadar penghunian semasa pusat beli-belah itu ialah 33%.
“Kami melihat perkara ini positif kerana ia dapat mengekang pengurangan NPI daripada aset ini dalam jangka masa terdekat, dengan potensi perkongsian keuntungan sekiranya pusat beli-belah tersebut menunjukkan prestasi lebih baik,” katanya dalam satu nota kajian.
HLIB berkata, amanah hartanah komersial itu juga dijangka mendapat manfaat daripada penurunan kos elektrik kira-kira RM100,000 sebulan dan penurunan caj faedah berikutan pengurangan kadar dasar semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada bulan Julai lalu.
Katanya, pihak pengurusan Pavilion-REIT memaklumkan, 80% daripada pinjamannya adalah pada kadar terapung dan kos pembiayaan bagi kadar berubah akan berkurangan mulai September.
“Kami menganggarkan pergerakan sebanyak 20 mata asas dalam kadar faedah akan menjimatkan pendapatan sebanyak RM6 juta setahun, atau kira-kira 1.6% daripada pendapatan FY26–FY27,” katanya.
Pihak pengurusan amanah tersebut berkata, perluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) memberi kesan yang minimum kepada operasinya, seperti yang dapat dilihat daripada kedatangan pengunjung yang kekal kukuh serta penambahbaikan berterusan dalam campuran penyewa yang akan mengekalkan prestasinya.
Katanya, jualan penyewa tidak menunjukkan tanda-tanda kemerosotan sejak SST dikuatkuasakan.
"Kami mengekalkan saranan "pegang" dengan harga sasaran (TP) RM1.85 sesaham," katanya.- DagangNews.com
standard

