
Polis Diraja Malaysia (PRDM) telah mengeluarkan amaran dalam satu kenyataan baru-baru ini terhadap segelintir pengguna media sosial di Malaysia supaya tidak memuatnaik kandungan yang boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.
Kenyataan ini dikeluarkan susulan laporan orang ramai menerusi pelbagai medium kepada PDRM bahawa adanya klip-klip oleh para remaja di TikTok yang memuatnaik semula kandungan merujuk kepada keganasan kaum 13 Mei 1969, selepas pilihan raya umum ke-15.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani memberitahu pengguna media sosial supaya berhenti menyalahgunakan platform untuk menyebarkan kandungan yang dianggap bersifat provokasi kerana ia akan menimbulkan kegusaran pada orang ramai.

“Semasa PRU ke-15, dan sebelum terbentuknya kerajaan persekutuan yang baharu, kami telah memberi amaran terhadap pengguna sosial media yang memuat naik kandungan menyentuh isu perkauman dan agama”
Tambah Acryl Sani lagi, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pengguna media sosial yang cuba mengancam keselamatan dan ketenteraman awam di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia dan Kanun Keseksaan.
Difahamkan, beberapa akaun TikTok dipercayai telah mengeluarkan kandungan yang memberi amaran berkemungkinan tragedi 13 Mei 1969 akan berulang lagi.

Sementara itu, semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berlangsung, Inisiatif Pemantauan Media Sosial telah diadakan oleh Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) untuk memantau ucapan berunsur kebencian mendapati naratif berasaskan kaum terutamanya menyokong “Ketuanan Melayu” atau ketuanan Melayu telah meningkat menjelang pilihan raya.
Sumber : Malay Mail

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.


