amree21/10/2026 - 09:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 21 Okt – Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) mengurangkan pegangan sahamnya dalam CTOS Digital Berhad selepas menjual 11.4 juta saham bernilai RM4.1 juta, ketika agensi pelaporan kredit itu berdepan kesan akibat insiden keselamatan siber yang menjejaskan operasinya.
Menurut makluman syarikat pelaporan kredit tersebut kepada Bursa Malaysia, transaksi pelupusan ekuiti di pasaran terbuka itu dianggarkan mencecah nilai RM4.1 juta, berdasarkan kepada harga penutup sahamnya sebanyak 36 sen pada akhir dagangan 19 Oktober 2026.
Pelupusan berkenaan mengurangkan pegangan KWAP dalam CTOS Digital kepada 8.206% daripada 8.724% sebelum transaksi itu, sekali gus mencerminkan pengurangan sebanyak 0.518 mata peratusan.
Penjualan tersebut berlaku pada hari sama saham kumpulan berkenaan mencecah paras terendah sepanjang masa, susulan kebimbangan pelabur terhadap pelanggaran keselamatan siber yang didedahkan syarikat itu pada 23 September 2026.
Bagaimanapun, saham CTOS Digital menunjukkan pemulihan pada 20 Oktober apabila meningkat empat sen atau kira-kira 11.11% kepada 40 sen sesaham, dengan sebanyak lebih 28 juta saham bertukar tangan.
Pada harga tersebut, permodalan pasaran kumpulan itu berjumlah kira-kira RM884.5 juta. Namun, prestasi sahamnya masih tertekan dengan penurunan sebanyak 51.22% sejak awal tahun.

Pada 13 Oktober 2026, CTOS Digital memaklumkan insiden keselamatan siber itu dijangka mengurangkan keuntungan bersih kumpulan berkenaan sebanyak RM12 juta dan hasil RM16 juta bagi tahun kewangan semasa.
Anggaran tersebut mengambil kira kemungkinan beberapa perkhidmatan syarikat masih tidak tersedia sehingga minggu ketiga Oktober 2026, sekali gus memberi kesan kepada operasi dan penjanaan pendapatannya.
Insiden berkenaan turut mendorong Bank Negara Malaysia (BNM) menggantung Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS), iaitu pangkalan data utama berkaitan maklumat kredit dan pinjaman yang digunakan dalam ekosistem kewangan negara.
Penggantungan CCRIS itu mengganggu sebahagian perkhidmatan pelaporan kredit CTOS Digital, termasuk CTOS Score dan produk berkaitan, sekali gus menambah cabaran kepada kumpulan berkenaan untuk memulihkan operasi perniagaannya.
Perkembangan penjualan saham oleh KWAP, di tengah-tengah pemulihan harga harian CTOS Digital, menjadi antara perkara yang diperhatikan pelabur ketika pasaran menilai kesan kewangan insiden siber tersebut serta prospek pemulihan syarikat. - DagangNews.com






