
TAWAU: Seorang pegawai di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tawau dijatuhi hukuman penjara empat bulan dan denda RM15,000 oleh Mahkamah Khas Rasuah di sini, hari ini selepas didapati bersalah menerima RM5,000 daripada kontraktor, enam tahun lalu.
Tertuduh, Abdul Samad Amara, 48, turut diperintahkan menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Hakim Jason Juga menjatuhkan hukuman itu selepas mendengar pembelaan dan mitigasi tertuduh serta hujahan pendakwaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menerima wang tunai RM5,000 daripada pemilik sebuah syarikat di dalam sebuah Perodua Myvi di Taman Univila pada 11 September 2020.
Tertuduh juga mengetahui lelaki itu mempunyai hubungan dengan kerja rasminya selaku Ketua Unit Infrastruktur dan Pembangunan PPD Tawau bagi kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan di Sekolah Kebangsaan (SK) Balung berjumlah RM223,247.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Norsham Saharom manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Abdul Karim.
Pembelaan memohon mahkamah menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.
Mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara, namun mengarahkan tertuduh membayar denda RM15,000 pada hari ini. –UTUSAN
The post Pegawai PPD dipenjara, denda RM15,000 appeared first on Utusan Malaysia.






