
KUALA LUMPUR – Tentera Darat Malaysia (TDM) mengesahkan semua senjata api dan peluru di stor penyimpanan berada dalam keadaan lengkap dan mencukupi, susulan penahanan seorang pegawai tentera di sebuah institusi pengajian tinggi awam pada 28 September lalu.
Cawangan Komunikasi Strategik Markas TDM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pemeriksaan segera terhadap semua stor senjata dan stor peluru dilaksanakan sejurus pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian terbabit.
Menurut kenyataan itu, pegawai berkenaan ditahan Polis Diraja Malaysia bagi membantu siasatan selepas ditemukan bersama sepucuk senjata api, sejumlah peluru dan cecair yang disyaki bahan terlarang.
“Saringan awal air kencing pegawai berkenaan didapati positif mitragynine, namun keputusan itu masih tertakluk pada pengesahan lanjut melalui analisis makmal serta hasil siasatan pihak berkuasa.
“TDM memandang serius sebarang perkara yang melibatkan anggota dan pegawai tentera, khususnya berkaitan disiplin, keselamatan serta pematuhan kepada peraturan,” menurut kenyataan itu.
TDM menegaskan komitmen untuk memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat pelanggaran peraturan berdasarkan hasil siasatan yang disahkan.
“Sebarang kesimpulan berhubung kejadian berkenaan perlu dibuat berdasarkan fakta dan hasil siasatan pihak berkuasa, bukan maklumat yang belum disahkan.
“TDM turut menggesa orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang boleh mengelirukan masyarakat serta menjejaskan proses siasatan,” menurut kenyataan itu.
Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan melalui saluran rasmi TDM pada masa yang bersesuaian. – Bernama
The post Pegawai tentera ditahan, semua senjata peluru di stor cukup appeared first on Kosmo Online.






