Pejabat Ketua Menteri nafi dakwaan TYT tandatangani dokumen pembubaran DUN Melaka

LocalPolitics
15 Sep 2026 • 6:42 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pejabat Ketua Menteri nafi dakwaan TYT tandatangani dokumen pembubaran DUN Melaka
Pejabat Ketua Menteri Melaka menafikan dakwaan tular kononnya Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menandatangani dokumen pembubaran DUN Melaka pagi ini.

MELAKA - Pejabat Ketua Menteri Melaka menafikan dakwaan tular kononnya Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menandatangani dokumen pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pagi ini.

Ketua Komunikasi Media Ketua Menteri Melaka, Nor Hafizah Mohd Sati berkata, pihaknya setakat ini tidak dimaklumkan mengenai sebarang perjumpaan seperti tular di kumpulan WhatsApp.

“Selaku Ketua Komunikasi Media, setakat hari ini saya tidak dimaklumkan mengenai sebarang perjumpaan.

“Apa-apa kenyataan daripada Pejabat Ketua Menteri akan dimaklumkan segera. Segala yang tular itu tidak sahih sama sekali,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Beliau pada masa sama memohon pihak media tidak mempercayai sebarang maklumat yang tular tanpa pengesahan Pejabat Ketua Menteri Melaka.

Pada Selasa, tersebar mesej dalam beberapa kumpulan WhatsApp mendakwa satu pertemuan diadakan pada jam 10.30 pagi di Bilik Tamu, Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MITC, Ayer Keroh, hari ini.

Mesej berkenaan mendakwa Tun Mohd Ali dan Ab Rauf menandatangani dokumen pembubaran DUN Melaka pada pertemuan itu.

Pagi ini Ab Rauf menghadiri Pertandingan Akhir Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan Piala Pusingan Yang di-Pertua Negeri Melaka di Ballroom MITC pada jam 9 pagi.

Beliau kemudiannya menghadiri Majlis Apresiasi Pembekal Data Terbaik NAPIC dan Seminar What's New PRISM 2.0 Peringkat Zon Selatan di Dewan Hang Lekir, MITC pada jam 10.15 pagi

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved