Dokumen Pendaftaran Pelarian bukan laluan kewarganegaraan

LocalPolitics
14 Sep 2026 • 2:42 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Dokumen Pendaftaran Pelarian bukan laluan kewarganegaraan

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menafikan dakwaan bahawa Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) diwujudkan sebagai langkah memberi kewarganegaraan kepada pelarian atau warga asing yang berada di negara ini.

Ketua Setiausahanya, Datuk Dr. Awang Alik Jeman berkata, DPP diwujudkan bagi membolehkan kerajaan memperoleh data dan maklumat yang lebih tepat mengenai individu yang berada di Malaysia demi tujuan keselamatan dan pengurusan negara.

Beliau berkata, terdapat pihak tertentu yang menyebarkan persepsi kononnya DPP merupakan saluran untuk memberikan kerakyatan kepada pelarian sedangkan perkara itu tidak pernah menjadi tujuan kementerian.

“DPP ini kita buat untuk kita tahu berapa bilangan sebenarnya orang-orang yang datang ke negara kita ini untuk keselamatan kita. Di mana dia berada? Berapa orang? Supaya kita tahu,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan KDN di sini hari ini.

Katanya, kerajaan tidak mahu hanya bergantung kepada angka atau maklumat yang diperoleh daripada pihak lain tanpa mempunyai rekod dan data sendiri yang lebih tepat.

Awang Alik berkata, terdapat pihak yang mendakwa jumlah pelarian di negara ini mencecah ratusan ribu orang, namun kerajaan perlu mempunyai mekanisme sendiri untuk mengetahui angka sebenar.

“Berdasarkan kepada maklumat yang diberikan oleh satu entiti lain, dia boleh kata pelarian dekat negara kita ada 100,000, 200,000. Tapi jumlah yang sebenar kita tahu ke? Kita tak tahu. Sebab itulah kita buat DPP,” katanya.

Dalam masa sama, beliau meluahkan kekeliruan apabila terdapat pihak yang mengkritik kerajaan kerana tidak memberikan kewarganegaraan kepada individu tertentu yang didakwa telah lama menetap di Malaysia walaupun tidak memenuhi syarat ditetapkan.

Katanya, pemberian kewarganegaraan bukan perkara mudah kerana ia tertakluk kepada syarat dan proses yang ditetapkan undang-undang.

“Untuk menjadi warganegara Malaysia ini bukan satu perkara yang mudah. Tidak ada sesiapa pun atau individu mana-mana pun boleh bagi, ‘Okey you ambil ini, you jadi warganegara’. Ia ada proses yang sangat panjang,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, terdapat kumpulan lain yang menuduh kerajaan mahu memberikan kerakyatan kepada pelarian sedangkan perkara itu tidak pernah dibangkitkan oleh KDN.

Justeru, beliau meminta penjawat awam dan warga KDN membantu menjelaskan kepada masyarakat bahawa DPP bukan mekanisme untuk memberikan kewarganegaraan kepada mana-mana pihak. – UTUSAN

The post Dokumen Pendaftaran Pelarian bukan laluan kewarganegaraan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved