hamden27/10/2026 - 17:20 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 27 Okt - Tenaga Nasional Bhd (TNB) hari ini menerbitkan Sukuk Wakalah Kelestarian bernilai RM4.8 bilion menerusi enam tranche dengan tempoh matang antara lima hingga 25 tahun.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, TNB berkata penerbitan itu merupakan yang kedua di bawah Program Sukuk Wakalah syarikat.
Tranche pertama bernilai RM150 juta mempunyai tempoh matang lima tahun dengan kadar agihan berkala 4.20% setahun, manakala tranche kedua bernilai RM1.325 bilion mempunyai tempoh matang tujuh tahun dengan kadar 4.35% setahun.
Tranche ketiga pula bernilai RM200 juta dengan tempoh matang 10 tahun dan kadar agihan 4.40% setahun, manakala tranche keempat berjumlah RM1.125 bilion bagi tempoh 15 tahun dengan kadar 4.69% setahun.
Sementara itu, tranche kelima bernilai RM800 juta mempunyai tempoh matang 20 tahun dengan kadar agihan 4.81% setahun, manakala tranche keenam berjumlah RM1.2 bilion bagi tempoh 25 tahun dengan kadar 4.88% setahun.
Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) mengumumkan penerbitan itu bagi pihak Lembaga Pengarah TNB.
CIMB Investment Bank Bhd (CIMB IB) dan Maybank IB bertindak sebagai penasihat utama bersama serta pengatur utama bersama bagi Program Sukuk Wakalah berkenaan. Kedua-dua institusi kewangan itu turut menjadi pengurus utama bersama bagi penerbitan sukuk tersebut.
Dari segi kesan kewangan, TNB berkata penerbitan itu akan meningkatkan jumlah pinjaman disatukan kumpulan sebanyak RM4.8 bilion.
Bagaimanapun, penerbitan berkenaan tidak akan memberi kesan material terhadap pendapatan, pendapatan sesaham dan aset bersih sesaham TNB bagi tahun kewangan semasa.
TNB turut menjelaskan penerbitan sukuk itu tidak akan memberi kesan terhadap modal saham terbitan dan berbayar syarikat atau pegangan saham pemegang saham utamanya. - DagangNews.com






