hamden27/10/2026 - 12:54 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 27 Okt - Matrix Concepts Holdings Bhd (Matrix Concepts) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Matrix Concepts (Southern) Sdn Bhd, bersetuju mengambil alih 57 bidang tanah pertanian kosong seluas kira-kira 174.77 hektar di Sengkang, Senai, Kulai, Johor pada harga RM169.31 juta.
Kumpulan itu berkata, cadangan pengambilalihan berkenaan bertujuan memperkukuh dan memperluas simpanan tanah sedia ada bagi menyokong strategi pertumbuhan jangka panjang serta memastikan kesinambungan pembangunan hartanah pada masa hadapan.
Menurut pemfailan kepada Bursa Malaysia pada Selasa, Matrix Concepts (Southern) memeterai perjanjian jual beli berasingan dengan pemilik tanah korporat, pemilik individu dan wasi harta pusaka pemilik tanah yang telah meninggal dunia pada 27 Oktober 2026.
Kesemua 57 bidang tanah itu mempunyai keluasan keseluruhan kira-kira 174.7749 hektar dan dipegang di bawah hak milik individu berasingan.
Harga pembelian yang dipersetujui adalah kira-kira RM9 sekaki persegi, lebih rendah berbanding nilai pasaran indikatif sekurang-kurangnya RM11 sekaki persegi berdasarkan penilaian bebas oleh Henry Butcher Malaysia.
Matrix Concepts berkata, harga berkenaan mengambil kira keadaan tanah yang terdiri daripada beberapa bidang berasingan di bawah hak milik individu, sekali gus mewakili harga pengambilalihan yang munasabah berdasarkan pasaran.
Tanah berkenaan terletak di antara bandar Kulai dengan Koridor Pertumbuhan Perindustrian Sedenak yang sedang berkembang, selain mempunyai akses ke Lebuhraya Utara-Selatan, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dan rangkaian pengangkutan di kawasan Johor Bahru-Kulai.
Johor Bahru terletak kira-kira 43 kilometer dari tapak berkenaan, manakala hubungan perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) ke JB Sentral turut meningkatkan kemudahan akses ke wilayah selatan.
Berdasarkan penilaian kebolehlaksanaan semasa Kumpulan, tanah itu dirancang untuk pembangunan bercampur dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM2.1 bilion.
Lembaga Pengarah Matrix Concepts berpendapat pembangunan masa hadapan tanah berkenaan akan melengkapi pembangunan di kawasan sekitar serta menyumbang kepada pertumbuhan keseluruhan kawasan itu.
Pembangunan tersebut juga dijangka merangsang aktiviti ekonomi, mewujudkan peluang perniagaan dan pekerjaan serta meningkatkan nilai hartanah di kawasan sekitar melalui penambahbaikan infrastruktur, aksesibiliti dan kemudahan sokongan. - DagangNews.com




