KUANTAN - Seorang pekerja ladang maut selepas dipercayai tertimpa tandan buah kelapa sawit seberat kira-kira 15 kilogram di sebuah ladang sawit di Felda Bukit Goh di sini pada Sabtu lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa, Nor Apian Md Said, 50, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mangsa bersama dua rakan menyambung semula kerja mengambil buah sawit selepas berehat seketika.
“Dua rakan segera mendapatkan mangsa apabila mendapati beliau tiba-tiba rebah. Mangsa tidak sedarkan diri dan berlumuran darah dipercayai tertimpa buah sawit yang dipotong.
"Menurut saksi ketika kejadian, mata sabit digunakan mangsa masih terlekat pada pelepah pokok sawit dianggarkan setinggi 12 meter," katanya.
Ashari berkata, kejadian kemudian dimaklumkan kepada pemilik ladang sebelum dilaporkan kepada polis.
"Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Bukit Goh yang tiba di lokasi," katanya.
Tambah beliau, siasatan mendapati kes itu tidak melibatkan unsur jenayah dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
"Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat sebelum jenazah dituntut keluarga untuk dikebumikan," katanya.
