
KUALA LUMPUR – Taktik sebuah syarikat penyedia perkhidmatan pembersihan rumah yang dipercayai menggaji serta mengeksploitasi pekerja asing terbongkar selepas 31 warga Indonesia ditahan dalam operasi bersepadu Jabatan Imigresen (JIM) di sekitar ibu negara, hari ini.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, kesemua yang ditahan terdiri daripada 27 wanita dan empat lelaki yang dipercayai bekerja sebagai pekerja pembersihan serta pengangkut.
Beliau berkata, pemeriksaan mendapati mereka tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada dan bekerja di Malaysia.
“Siasatan awal mendapati syarikat berkenaan dipercayai mengambil dan menyimpan pasport pekerja selain membayar gaji di bawah RM1,500, membuat pemotongan gaji tanpa alasan munasabah serta mengenakan denda dan penalti tanpa persetujuan.
“Pekerja terbabit turut dipercayai diarahkan bekerja lebih masa dan pergerakan mereka dikawal oleh pihak syarikat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zakaria berkata, maklumat diperoleh mendapati syarikat itu mempunyai rekod pekerja yang melarikan diri kerana tidak tahan dengan eksploitasi yang dipercayai dikenakan terhadap mereka.
Sementara itu, tiga pemilik syarikat terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita warga tempatan turut ditahan.
Menurutnya, pemeriksaan di premis syarikat membawa kepada sitaan 20 pasport milik individu lain, wang tunai berjumlah RM9,400 serta beberapa set komputer yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti syarikat.
“Modus operandi syarikat berkenaan dipercayai melibatkan pengambilan dan perekrutan warga Indonesia dengan menawarkan pekerjaan sebagai pekerja pembersihan serta menjanjikan kos pengambilan dan perbelanjaan tertentu ditanggung pihak syarikat.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), Akta Pasport 1966 (Akta 150), Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613),” ujarnya.
Operasi Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA JIM bersama JIM Kuala Lumpur, JIM Negeri Sembilan, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Suruhanjaya Syarikat itu turut membawa kepada pembekuan sejumlah akaun milik individu dan syarikat di bawah Seksyen 4(1) Akta 613.
Kesemua yang ditahan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen KLIA bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE
The post Pekerja pembersihan dibayar gaji bawah RM1,500 appeared first on Kosmo Digital.






