JIM tumpas syarikat pembersihan disyaki eksploitasi pekerja asing

LocalPolitics
2 Sep 2026 • 10:52 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: JIM tumpas syarikat pembersihan disyaki eksploitasi pekerja asing

Jabatan Imigresen Malaysia menahan 34 individu termasuk tiga pemilik syarikat pembersihan kerana disyaki mengabaikan kebajikan dan mengeksploitasi pekerja asing.

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 34 individu termasuk tiga pemilik syarikat dalam satu operasi bersepadu di beberapa lokasi sekitar ibu negara hari ini susulan kegiatan sebuah syarikat penyedia perkhidmatan pembersihan disyaki menggaji pekerja asing tanpa dokumen sah.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata sebanyak 31 warga Indonesia terdiri daripada 27 wanita dan empat lelaki yang bekerja sebagai pekerja pembersihan dan pengangkut serta tiga rakyat tempatan yang juga pemilik syarikat berkenaan terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita, ditahan dalam operasi itu. 

“Siasatan awal mendapati syarikat berkenaan dipercayai menggaji pekerja asing serta mengambil dan menyimpan pasport milik pekerja terbabit. Selain itu, pekerja berkenaan dipercayai menerima gaji minimum di bawah RM1,500, berdepan pemotongan gaji tanpa alasan yang munasabah, dikenakan denda serta penalti tanpa persetujuan, diarahkan bekerja lebih masa dan pergerakan mereka dikawal pihak syarikat.

“Maklumat yang diperoleh turut mendapati bahawa syarikat berkenaan mempunyai rekod pekerja yang melarikan diri kerana tidak tahan dengan eksploitasi dipercayai dikenakan terhadap mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 Beliau berkata pasukan operasi turut menyita 20 pasport milik individu lain, wang tunai berjumlah RM9,400 serta beberapa set komputer dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti syarikat dan kini sedang diteliti bagi membantu siasatan.

Zakaria berkata modus operandi syarikat berkenaan dipercayai melibatkan pengambilan dan merekrut warga Indonesia dengan menawarkan peluang pekerjaan sebagai pekerja pembersihan serta menjanjikan kos berkaitan pengambilan dan perbelanjaan tertentu akan ditanggung pihak syarikat.

Katanya, melalui risikan dan siasatan kewangan dijalankan JIM, beberapa akaun milik individu dan syarikat disyaki menjalankan aktiviti haram telah dibekukan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613). 

Beliau berkata kesemua individu ditahan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen KLIA bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut. 

Operasi bersepadu itu diterajui Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA JIM dengan kerjasama Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan (NFCC), Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved